Kah Woh pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen hari ini.
Kah Woh pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Parlimen hari ini.

KPM tubuh jawatankuasa khas kurangkan ketidakhadiran calon SPM

16 Oct 2024 03:24pm

Jawatankuasa Khas Tindakan Gempur Kehadiran Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024/2025, telah ditubuhkan dalam usaha mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan berkenaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, perkara itu merupakan tindakan terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), yang telah merancang pelan intervensi dengan melaksanakan pemerkasaan terhadap program sedia ada.

Beliau berkata, antara kaedah lain ialah KPM mendayagunakan pentaksiran psikometrik bagi mengumpul maklumat gambaran triat psikologi daripada aspek minda atau jiwa untuk membantu murid mengenali personaliti kendiri dan membuat keputusan berdasarkan kebolehan sendiri.

"Selain itu, melaksanakan program persediaan menghadapi peperiksaan SPM melalui inisiatif Program Minda Sihat Sekolah dan sebagainya, serta melaksanakan aktiviti berfokus seperti ziarah cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) serta Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS).

"Bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia yang melibatkan Program Pecutan SPM 2024 dengan program ini dijalankan secara berfokus dan melibatkan negeri,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai usaha KPM dalam memastikan pelajar yang tidak hadir SPM dikenal pasti puncanya dan usaha bagi memastikan golongan ini tidak terus tercicir daripada sistem pendidikan.

Mengenai punca 10,160 calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan itu tahun lepas, Wong berkata, berdasarkan analisa KPM mendapati ia antaranya disebabkan calon telah bekerja, berhenti atau berpindah sekolah, mengalami masalah keluarga dan sakit. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp