KPM umum garis panduan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka

Adlan Farhan Azwan
18 Mar 2022 02:51pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan beberapa penambahbaikan pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum di dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, guru, jurulatih atau pengajar yang terlibat dalam aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka bersama murid hendaklah lengkap divaksin.

“Annex berkaitan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum ini boleh diperoleh melalui pautan https://www.moe.gov.my/muat-turun/kenyataan-media/km2022/5084-annex-sukan-kokurikulum-bersemuka-kpm/file," katanya.

Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya membenarkan penganjuran aktiviti, pertandingan atau kejohanan sukan dan kokurikulum namun pelaksanaannya adalah terhad dalam kawasan sekolah dan hanya melibatkan murid, guru,jurulatih dan pengajar sekolah berkenaan sahaja.

Baca juga

Kebenaran aktiviti sukan, kokurikulum di luar bilik darjah bermula Isnin ini – Radzi

KPM kawal ketagihan game, larang bawa telefon bimbit ke sekolah

“Pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum dalam kawasan sekolah yang melibatkan agensi luar pula perlu mendapat kebenaran KPM.

“Dalam hal ini, KPM berhak membatalkan sebarang penganjuran atau penyertaan dalam aktiviti atau pertandingan sukan dan kokurikulum jika didapati penganjur tidak mengikut ketetapan KPM,” jelasnya dalam kenyataan itu.

KPM menegaskan bahawa semua aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka dalam kawasan sekolah hendaklah mematuhi garis panduan Annex Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum seta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok 

KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

Terdahulu, KPM menetapkan bahawa sebarang aktivíiti sukan, kokurikulum dan perhimpunan di sekolah tidak dibenarkan susulan pandemik Covid-19 pada 10 Jun tahun lalu.

Namun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah mengumumkan aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah akan dibenarkan mulai sesi akademik 2022/2023 yang akan bermula 21 Mac ini.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok