UPNM merupakan salah satu daripada 20 universiti awam di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan.
UPNM merupakan salah satu daripada 20 universiti awam di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan.

KPT akan bincang dengan Kementerian Pertahanan, tangani salah laku di UPNM

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
12 Nov 2024 10:44pm

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

KPT dalam satu kenyataan pada Selasa menyatakan, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan pelajar di universiti berkenaan terjamin dan insiden buli tidak berulang.

“Kejadian salah laku buli ini sedikit sebanyak memberi imej tidak baik kepada institut pengajian tinggi (IPT) yang menjadi institusi untuk pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu mempunyai tahap pemikiran dan keperibadian yang seimbang serta baik.

"Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran serius melibatkan undang-undang negara,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga, KPT turut berharap agar warga IPT sendiri menjadi ‘mata dan telinga; dengan berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku sebegini.

"KPT ingin memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu buli sebegini.

"Kementerian tidak akan berkomrpomi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah,” katanya.

Menerusi kenyataan itu lagi, UPNM merupakan salah satu daripada 20 universiti awam di bawah KPT namun mempunyai keunikan dari sudut pentadbirannya kerana ia turut diuruskan oleh Kementerian Pertahanan.

Artikel Berkaitan:

Pelajar UPNM tergolong dalam dua kategori iaitu Pelajar Awam sebanyak 80 peratus dan Pegawai Kadet sebanyak 20 peratus.

Dalam hal ini, pengurusan kedua-dua kategori pelajar itu terbahagi antara pihak UPNM di bawah KPT dan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di bawah Kementerian Pertahanan.

"UPNM di bawah KPT bertanggungjawab ke atas urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP), kuliah serta aktiviti atau kegiatan pelajar dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala tanggungjawab ALK meliputi perkara disiplin ketenteraan, aktiviti di luar bidang akademik dan latihan ketenteraan bermula jam 5 petang hingga ke atas, termasuk hujung minggu atau hari pelepasan am.

"Dalam hal ini, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan bagi memastikan kelancaran setiap aktiviti dan program yang diatur untuk pelajar UPNM dalam kedua-dua kategori pelajar," katanya.

Mengenai kes buli di ALK, UPNM, membabitkan seorang penuntut Tahun Satu yang disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh penuntut senior dalam kejadian 21 Oktober lalu.

KPT berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut.

Dalam masa yang sama, menurut KPT, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp