Timbalan Menteri KPT, Datuk Mohd Yusof Apdal (tengah). kredit foto: Facebook KPT
Timbalan Menteri KPT, Datuk Mohd Yusof Apdal (tengah). kredit foto: Facebook KPT

KPT beri jaminan untuk membantu mahasiswa yang terjejas banjir

Kesan akibat daripada bencana alam seperti banjir sememangnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, malah juga boleh membahayakan nyawa.

01 Feb 2023 01:01am
A
A
A

Kesan akibat daripada bencana alam seperti banjir sememangnya tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan harta benda, malah juga boleh membahayakan nyawa.

Tiada siapa terkecuali daripada ditimpa musibah termasuklah mahasiswa universiti seluruh negara.

Menyedari kesusahan yang dialami golongan ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan akan memastikan mahasiswa yang terjejas dalam bencana banjir ini akan diberikan perhatian sewajarnya.

Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, KPT menerusi pasukan sukarelawan bencana dari beberapa universiti awam akan menilai dan mengkaji masalah yang dihadapi mahasiswa terlibat sebelum bantuan segera disalurkan.

Tambah beliau, KPT memiliki kumpulan sukarelawan yang sentiasa peka bagi membantu mangsa bencana khasnya membabitkan mahasiswa universiti.

“Kami akan melihat dan menilai masalah yang dihadapi oleh mahasiswa terbabit seterusnya memberikan sumbangan bantuan yang bersesuaian.

“KPT akan pantau dan jika mereka mempunyai masalah misalnya dari segi penempatan kita akan memberikan tempat perlindungan yang sesuai untuk sementara waktu,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Duta TVET di Dewan Canselor Induk UTeM, Melaka, baru-baru ini.

Majlis tersebut yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Seri Hasim Hasan dan Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Massila Kamalrudin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Massila menjelaskan pihaknya juga bersedia untuk menghantar Tuah VT yang merupakan badan sukarelawan UTeM bagi membantu mangsa banjir di lima buah negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Tutur beliau lagi, pasukan sukarelawan itu berkemahiran dalam menguruskan pasca banjir yang terdiri daripada 300 mahasiswa dan 200 tenaga kerja universiti tersebut.

“Kira-kira 500 sukarelawan Tuah VT bersiap bersedia untuk bergerak jika diperlukan dan kami hanya menunggu arahan serta lampu hijau daripada KPT,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok