Bencana banjir boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Gambar kecil: Muhammad Humaidi.
Bencana banjir boleh berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja. Gambar kecil: Muhammad Humaidi.

Bencana alam bantutkan pembangunan ekonomi

02 Feb 2024 07:30am

Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan tsunami bukanlah perkara asing di Malaysia.

Kewujudan negara kita yang terletak di kawasan pertembungan plat tektonik menjadikan ia rentan dengan pelbagai bencana alam.

Tambahan pula dengan iklim tropika yang mempunyai hujan lebat, risiko bencana semakin meningkat.

Menurut laporan tahunan 2021 yang dikeluarkan kerajaan melalui Jabatan Pengurusan Bencana Negara (JPBN), purata setiap tahun lebih kurang 9,000 insiden bencana dilaporkan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, banjir kilat, tanah runtuh dan angin ribut mencatatkan insiden paling tinggi.

Bencana alam ini bukan sahaja meragut nyawa malah memberi implikasi ekonomi yang besar kepada negara.

Malaysia merupakan negara sedang membangun maka apabila menghadapi insiden seperti ini amatlah memberi impak negatif besar kepada negara.

Bagi sesebuah negara dengan populasi rakyat sebanyak 31.5 juta orang adalah sedikit bagi membantu dari segi pembangunan ekonomi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurut kajian Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Sosial (SOCSO) pada 2020, dianggarkan negara kerugian RM5 bilion setahun disebabkan bencana alam sekali gus akan menjejaskan kewangan negara.

Antara impak ekonomi paling ketara akibat bencana alam adalah kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, bangunan, bekalan elektrik dan paip air.

Hal ini akan menjejaskan kehidupan seharian rakyat kerana perlu menghadapi kerosakan infrastruktur.

Menurut Kementerian Kerja Raya, kos menaik taraf semula infrastruktur akibat bencana alam mencecah RM2 bilion setahun.

Selain itu, kos tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa akibat bencana yang sering melanda negara saban tahun malah akan berlarutan dan tidak akan berhenti.

Gangguan rantaian bekalan, pengangkutan dan perdagangan turut memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akibat kerosakan jalan raya sebagai penghubung.

Misalnya apabila berlaku tanah runtuh di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), laluan pengangkutan terputus sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran serta inflasi harga barang di kawasan yang terputus bekalan makanan akibat peniaga menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya yang akan menjejaskan rakyat

Dari aspek sosial pula, ramai penduduk khususnya golongan berpendapatan rendah kehilangan tempat tinggal dan pekerjaan ekoran musibah alam.

Menurut Biro Ekonomi JPBN, purata setiap tahun lebih 300,000 orang terkesan akibat bencana alam di Malaysia yang memerlukan bantuan dan penempatan sementara daripada pihak kerajaan.

Golongan B40 yang menghadapi bencana alam seperti banjir akan kehilangan tempat tinggal serta tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi bagi menyara diri maka hanya kerajaan menjadi tempat untuk meminta.

Dengan berlakunya bencana alam rakyat tidak dapat keluar dari kawasan pemindahan untuk bekerja.

Pada waktu ini apa yang lebih penting adalah keselamatan keluarga mereka.

Sektor pertanian

Sektor pertanian negara juga tidak terkecuali menanggung kerugian akibat bencana alam khususnya banjir pada musim monsun dan kemarau panjang seperti El Nino.

Petani kecil terutamanya mengalami kemusnahan tanaman hingga menyebabkan mereka hilang punca pendapatan.

Misalnya pada 2014, kemarau teruk di Selangor merosakkan sehingga 75 peratus tanaman padi petani di Kuala Selangor.

Akibat kemusnahan tanaman dan ternakan, ramai petani dan penternak kecil menanggung kerugian serta terjejas sumber pendapatan.

Sektor pertanian memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Malaysia dengan menyumbang sebanyak 7.1 peratus kepada KDNK pada 2021 menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Namun begitu, produktiviti sektor ini sering terjejas akibat bencana alam seperti banjir, kemarau dan hujan lebat yang melanda negara kita.

Kesannya, bekalan makanan negara terjejas apabila pengeluaran sektor pertanian merosot.

Perbadanan Pembangunan Pertanian berkata, negara pernah mengimport sehingga 1.2 juta tan beras pada 2016 bagi menampung kekurangan bekalan selepas berlakunya banjir besar di Kelantan dan Pahang.

Mengimport barangan untuk keperluan rakyat adalah tindakan yang perlu dilakukan tetapi kerajaan akan menghadapi imbangan duga yang tidak baik dan akan melambatkan pembangunan negara maka perlu untuk negara menyimpan makanan sebagai bekalan kecemasan yang akan digunakan pada waktu rakyat menghadapi bencana.

Jelas sekali bencana alam memberi kesan sampingan dalam bentuk kerugian ekonomi jangka pendek dan jangka panjang kepada Malaysia.

Selain impak ketara seperti kerosakan harta benda, ia turut memusnahkan kehidupan rakyat terutama golongan bawahan.

Bagi mengurangkan kesan bencana alam, pelbagai usaha perlu dilaksanakan secara bersepadu oleh semua pihak.

Antaranya termasuklah memperkukuhkan sistem amaran awal seperti pemantauan keadaan geologi dan hidrologi supaya langkah pencegahan awal dapat dilakukan.

Hal ini bagi membantu rakyat mendapat maklumat dengan lebih awal dan dapat membuat persediaan awal berpindah ke tempat yang selamat dan menjaga barangan berharga daripada musnah akibat bencana.

Ini dapat membantu rakyat mengurangkan kerugian kemusnahan harta benda.

Akibat kerugian yang dihadapi rakyat adalah maklumat bencana yang lambat disampaikan oleh pihak berwajib, maka dengan memperkukuhkan sistem amaran awal ini dapat membantu penduduk yang bakal dilanda bencana untuk membuat persediaan lebih rapi.

Kerjasama masyarakat

Kerjasama orang ramai amat penting dalam memastikan sistem perparitan dan longkang tidak tersumbat bagi mengelakkan banjir kilat.

Pemantauan secara berkala melalui pengawasan udara atau drone boleh membantu mengesan kawasan paling berisiko tanah runtuh.

Ini untuk langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini seperti tanah runtuh yang boleh memberikan impak besar seperti meragut nyawa dan rumah musnah akibat dilanda tanah runtuh.

Sistem perparitan harus di buat pemantauan agar apabila berlaku hujan yang lebat tidak menyebabkan sistem perparitan tidak berfungsi lalu mengakibatkan banjir kilat.

Banjir kilat yang berlaku di Selangor telah menyebabkan banyak kenderaan tidak berfungsi akibat ditenggelam oleh air.

Akhir sekali, pelaburan infrastruktur yang mampan dan rancangan pemulihan pasca bencana perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.

Ini termasuk memberi bantuan kewangan, makanan dan tempat tinggal kepada mangsa bencana agar mereka dapat kembali berdikari.

Pelaburan infrasturktur ini adalah dengan menyediakan tempat yang sememangnya di khaskan sebagai tempat tinggal semasa berlakunya bencana kerana penting untuk mempunyai tempat yang lebih selesa iaitu Pusat Penempatan Sementara (PPS) yang dapat menempatkan ramai keluarga ditimpa bencana alam di samping memberi bantuan kepada keluarga seperti perubatan.

Ini dapat membantu semasa menghadapi bencana.

Kerajaan perlu menyediakan jentera yang boleh membantu penduduk bagi memudahkan proses pemindahan penduduk.

Malah, ia akan mempercepatkan proses pemindahan agar tidak ada perkara buruk kelak.

Dengan langkah-langkah berkenaan, impak pembangunan ekonomi akibat bencana alam mampu dikurangkan.

Rakyat Malaysia akan terbela dan ekonomi negara yang stabil dapat direalisasikan dengan lebih cepat.

Tidak mudah untuk menghadapi bencana alam tetapi rakyat dan kerajaan perlulah bersatu hati bagi bersama-sama mengatasi masalah ini.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Sumber Asli Ekonomi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Muhammad Humaidi Roslan

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp