Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kredit foto: Facebook Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Kredit foto: Facebook Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KPT kaji inisiatif terbaik bantu kurangkan kos sara hidup mahasiswa IPTA

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
02 Mar 2023 06:38pm
A
A
A

Kesan keadaan kos sara hidup yang tinggi serta tidak menentu pada masa kini bukan sahaja mendatangkan tekanan kepada mereka yang bekerja bahkan bebanan juga dirasai oleh mahasiswa institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Lebih merumitkan, ada dalam kalangan mereka itu terikat dengan hutang pinjaman pendidikan yang tinggi sekali gus menambahkan lagi bebanan kepada mereka.

Untuk itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menjalankan kajian bagi memperkenalkan sistem anjal pembelajaran dari rumah yang bertujuan mengurangkan pinjaman pendidikan penuntut IPTA khususnya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya melihat inisiatif itu boleh membantu pelajar mengurangkan kos sara hidup serta mengelakkan mereka daripada dibebani hutang pinjaman pendidikan.

Jelas Mohamed Khaled, sistem yang berada dalam fasa kajian itu akan membolehkan mahasiswa menjalani pengajian dari rumah untuk beberapa semester dan kemudian sambung di universiti.

“Kita (KPT) sedang kaji untuk memperkenalkan sistem anjal, jadi pelajar boleh belajar di rumah untuk beberapa semester dan kemudian sambung di universiti supaya mereka tidak perlu membuat pinjaman pendidikan dengan banyak.

“Inisiatif pembelajaran dari rumah ini juga mendapat permintaan daripada pelajar kerana ia pernah dilaksanakan semasa penyebaran wabak pandemik Covid-19 masih berleluasa,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Biasiswa Perpaduan My Binary di Dewan Muafakat Sierra Perdana, Taman Sierra Perdana baru-baru ini.

Dalam pada itu tambah Mohamed Khaled, KPT juga sedang mengkaji bagi memendekkan tempoh pengajian program universiti daripada empat kepada tiga tahun bagi mengurangkan kos pinjaman pendidikan mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

Tuturnya lagi, pada masa sama KPT turut mempertimbangkan untuk mewujudkan satu tabung yang membolehkan masyarakat memberi sumbangan kepada PTPTN bagi membantu peminjam dengan penyumbang mendapat pengecualian cukai.

“Terdapat beberapa program atau kursus pengajian yang KPT akan kurangkan tempoh pengajian daripada empat kepada tiga tahun bagi membantu pelajar mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Selain itu KPT turut pertimbangkan untuk mewujudkan satu tabung endowmen yang membolehkan masyarakat memberikan sumbangan kepada PTPTN bagi membantu penuntut IPT dengan penyumbang akan diberikan pengecualian cukai.

“Melalui pendekatan yang berada dalam kajian ini secara tidak langsung yuran pengajian dapat dikurangkan seterusnya membolehkan PTPTN menawarkan pinjaman kepada lebih ramai pelajar pada masa depan,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok