noraini1
noraini1

KPT umum pelantikan Naib Canselor baharu UMP, UMK dan UniSZA

Nor Azma  Muhamat Laila
01 Mar 2022 12:51pm
A
A
A

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan naib canselor baharu bagi tiga universiti awam (UA) iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berkuat kuasa hari ini (1 Mac 2022).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, mereka ialah Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang dilantik sebagai Naib Canselor UMP manakala Profesor Dr Razli Che Razak sebagai Naib Canselor UMK dan Profesor Dr Fadzli Adam sebagai Naib Canselor UniSZA yang baharu.

"Yuserrie, 60, merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Sarjana dalam bidang Perdagangan dari University of Wollongong, Australia.

"Beliau telah memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Razli, 59, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Statistik Ekonomi dari UKM dan mempunyai Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Penyelidikan Operasi dari University of Strathclyde, United Kingdom serta memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama dari USM.

Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK.

Fadzli, 50, adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA sebelum dilantik ke jawatan naib canselor.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan telah memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Teologi dan Pengajian Agama) serta Ijazah Kedoktoran dalam Pengajian Islam dari University of Leeds, United Kingdom.

Tambah Noraini lagi, semua naib canselor berkenaan telah melalui proses saringan dan temu bual oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam yang dianggotai oleh para profesional yang arif dalam selok-belok pengurusan sumber manusia dan kepimpinan institusi serta ahli akademik yang berpengalaman menerajui universiti awam dan swasta.

"Justeru, kementerian percaya dengan ketokohan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki ketiga-tiga naib canselor baharu ini mampu menggalas tanggungjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan universiti-universiti berkenaan dalam bidang tujahan masing-masing iaitu teknikal, keusahawanan serta sains dan sains sosial.

"Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff, bekas Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Ts Dr Noor Azizi Ismail dan bekas Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan atas segala sumbangan dan kepimpinan menerajui universiti-universiti tersebut," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok