Gambar kecil: Nurhizam Shafie
Gambar kecil: Nurhizam Shafie

Kualiti kerja, kreativiti menurun

Impak buruk terhadap proses berfikir pelajar jika asyik bergantung kepada ChatGPT

QURRATUL AINA QUDDUSQURRATUL AINA QUDDUS
14 Jul 2025 11:25am

Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) sepatutnya menjadi alat bantu yang memperkasa daya pemikiran pelajar.

Hakikatnya hari ini, semakin ramai dalam kalangan pelajar khasnya di institusi pengajian tinggi terlalu bergantung kepada teknologi berkenaan bagi menyiapkan tugasan akademik.

Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Nurhizam Safie Mohd Satar berkata, kurangnya kualiti kerja pelajar antara kesan sekiranya mereka terlalu menjadikan AI sebagai medium bantuan untuk pembelajaran.

Menurutnya, proses berfikir mahasiswa akan berkurangan secara perlahan-lahan kerana AI telah memberikan jawapan penuh terhadap persoalan yang diajukan.

Jeed Zulkifli (kiri) sebagai hos Bual Bestari bersama Kok Cheng (dua dari kiri) dan dua pelajar mewakili Uniten, Vishnuvarma Jagathesh (dua dari kanan) serta Muhammad Fahmi Mohd Farris di Studio C Karangkraf.
Jeed Zulkifli (kiri) sebagai hos Bual Bestari bersama Kok Cheng (dua dari kiri) dan dua pelajar mewakili Uniten, Vishnuvarma Jagathesh (dua dari kanan) serta Muhammad Fahmi Mohd Farris di Studio C Karangkraf.

“Jika AI seperti ChatGPT telah memberi jawapan siap-siap, makanya pelajar tidak melalui latihan mental untuk menyelesaikan masalah.

“Hasil carian di AI lebih seragam kerana ia mengurangkan jawapan bersifat generik dan keaslian pemikiran kritis kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

“Tidak dilupakan juga penggunaan ChatGPT ini meluntur penguasaan bahasa kerana ia melemahkan kebolehan penulisan dan hujahan autonomi pelajar,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Lebih menyedihkan, tugasan yang dihasilkan bukan sahaja kurang bernilai dari segi intelektual, malah menunjukkan penurunan kualiti dan daya kreativiti.

"Pelajar semakin hilang semangat untuk berfikir sendiri, menganalisis maklumat serta menghasilkan idea asli," ujarnya.

Bagaimanapun Nurhizam Safie tidak menolak bahawa ChatGPT membawa banyak manfaat jika digunakan secara berhemah dan bijak. Namun katanya, apabila pelajar menjadikan kemudahan itu sebagai jalan pintas untuk menyiapkan tugasan tanpa usaha sendiri, ia bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja, malah melemahkan keupayaan berfikir secara kritis dan kreatif.

“Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, pelajar sepatutnya membina kekuatan ilmu melalui kefahaman, bukan sekadar salinan maklumat,” katanya.

Nurhizam Safie turut memberikan nasihat kepada pelajar yang sering menggunakan ChatGPT supaya tidak menyalin sepenuhnya maklumat yang diberikan. Ia kerana, pelajar perlu menyemak semula fakta, olah dengan idea sendiri dan menggunakan ChatGPT hanya untuk memahami konsep sesuatu maklumat.

“AI ini gelombang teknologi yang tidak dapat dihindar dalam pendidikan. Untuk mencapai kejayaan, pelajar perlu guna dengan bijak dan memanfaatkan kelebihan teknologinya tanpa mengorbankan daya pemikiran insaniah,” katanya.

Lebih spesifik

ChatGPT mampu menjadi alat yang mencetuskan pemikiran lebih jauh, kreatif, inovatif dan menyuntik semangat serta tenaga baharu dalam kalangan pelajar.

Namun, pendekatan penggunaannya perlu diberi perhatian serius agar tidak disalah guna hingga melemahkan daya fikir generasi muda.

Kok Cheng
Kok Cheng

Pensyarah Kanan Kolej Komputeran dan Informatik Universiti Tenaga Nasional (Uniten), TS Dr Lim Kok Cheng berkata, penggunaan AI dalam pendidikan bukanlah isu yang perlu dihalang, sebaliknya memerlukan bimbingan dan kerangka penggunaan yang jelas.

“Kalau terus dihalang, kita akan ketinggalan. Tetapi sekiranya cara penggunaan itu diajar dengan betul, negara sebenarnya sedang membentuk generasi lebih matang dan bersedia mendepani cabaran masa depan,” katanya.

Beliau mencadangkan agar para pendidik menyediakan garis panduan, polisi dan peraturan sesuai supaya platform AI seperti ChatGPT digunakan untuk memperkasa pemikiran, bukan sekadar memudahkan tugasan.

“Pendidikan hari ini bukan hanya menekankan aspek pembelajaran tetapi juga mengajar cara belajar dengan lebih efisien dan efektif. Efisien bermaksud buat kerja yang betul, manakala efektif pula buat kerja dengan betul,” katanya.

Tambah beliau, dengan pendekatan bimbingan yang tepat, ChatGPT boleh menjadi sahabat baik dalam dunia pendidikan, bukan musuh.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp