
Semua pengarah pendidikan, pentadbir sekolah diarah tingkat pemantauan keselamatan
Semua pengarah pendidikan negeri, pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pentadbir sekolah diarah untuk memperketat pemantauan keselamatan di institusi masing-masing termasuk melalui pelaksanaan lawatan mengejut.
Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu penting supaya aspek keselamatan dapat dikenal pasti dan ditambah baik dengan segera demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
"Dari segi pemantauan, saya sudah arahkan pengarah pendidikan negeri, pegawai PPD dan juga pengarah di bahagian yang ada institusi, khususnya sekolah di bawah mereka untuk mengadakan lawatan mengejut.
"Dengan lawatan mengejut ini kita dapat memastikan perkara-perkara yang perlu kita ambil tindakan segera untuk kita membuat penambahbaikan," katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Mohd Azam turut menegaskan keperluan untuk melindungi masa instruksional di sekolah, iaitu memastikan guru sentiasa berada di sisi murid semasa waktu pengajaran dan pembelajaran, selain mengawal urusan rasmi di luar sekolah agar tidak menjejaskan keselamatan serta pemantauan terhadap murid.
"Saya percaya apa pun usaha yang kita nak laksanakan, guru mesti di samping murid. Saya tak kata guru tak boleh keluar tetapi guru mesti di samping murid," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai atau mengabaikan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan murid di sekolah.
"Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika berlaku kecuaian ataupun pengabaian mana-mana prosedur dalam memastikan institusi pendidikan ini berada dalam keadaan selamat untuk semua warga sekolah khususnya anak-anak murid," katanya.
Mohd Azam berkata, pemantauan keselamatan turut diperkukuh melalui pelaksanaan audit keselamatan yang sedang dijalankan oleh Jemaah Nazir di lebih 1,000 sekolah termasuk asrama di seluruh negara. - Bernama
Ringkasan AI
- Pengarah pendidikan negeri, pegawai PPD dan pentadbir sekolah diarah memperketat pemantauan keselamatan melalui lawatan mengejut
- Langkah itu adalah untuk memastikan aspek keselamatan dapat dikenal pasti dan ditambah baik demi kesejahteraan murid, guru dan warga sekolah
- Mohd Azam Ahmad menegaskan kepentingan melindungi masa instruksional agar guru sentiasa berada di sisi murid
- Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dengan kecuaian dalam memastikan keselamatan di sekolah
- Pemantauan keselamatan diperkukuh dengan pelaksanaan audit keselamatan di lebih 1,000 sekolah dan asrama di seluruh negara