Penyelidik UMT (kanan) menunjukkan sampel kajian di reruai R&D dalam program Discover UMT.
Penyelidik UMT (kanan) menunjukkan sampel kajian di reruai R&D dalam program Discover UMT.

Discover UMT pupuk minat STEM dalam kalangan pelajar

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 May 2025 11:48am

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju dalam bidang sains dan teknologi apabila menganjurkan program Discover UMT 2024, sebuah inisiatif strategik untuk menyemai minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Program yang berlangsung dengan penuh interaktif itu bukan sahaja memperkenalkan pameran akademik dan penyelidikan UMT, malah menjadi jambatan awal kepada pelajar terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengenali potensi pendidikan dan laluan kerjaya masa depan dalam bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), kelestarian, kelautan serta sains alam sekitar.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr Suriyani Muhamad, program Discover UMT bukan sekadar hari terbuka biasa, sebaliknya satu platform berimpak tinggi untuk memperkenalkan kekuatan akademik, penyelidikaN dan inovasi UMT kepada masyarakat umum.

"Melalui program ini, pelajar dan pengunjung memperoleh pendedahan menyeluruh tentang peluang pengajian, pengalaman pembelajaran serta keunikan UMT sebagai universiti yang sinonim dengan kelestarian dan kepakaran dalam bidang maritim serta alam sekitar," jelasnya.

Beliau menambah, penganjuran Discover UMT turut menyokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkukuh keterlihatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan memperluas pemahaman masyarakat tentang kepentingan pendidikan tinggi negara.

"Universiti hari ini bukan hanya tempat meraih ijazah. Ia adalah tempat membentuk insan holistik, beretika dan berkemahiran. Discover UMT adalah ruang untuk memperlihatkan bagaimana UMT menyepadukan nilai-nilai ini dalam setiap aspeknya," katanya lagi.

Para pelajar mencuba peralatan makmal bagi melihat spesimen sempena penganjuran Discover UMT.
Para pelajar mencuba peralatan makmal bagi melihat spesimen sempena penganjuran Discover UMT.

80 sekolah angkat, pelajar UMT turun padang

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Discover UMT, Profesor Madya Dr Laili Che Rose berkata, antara pengisian penting program ialah jalinan kerjasama strategik UMT dengan 80 buah sekolah angkat di sekitar Pantai Timur di bawah kendalian Pusat Asasi STEM.

Melalui subjek Kesukarelawanan STEM, pelajar-pelajar UMT turun padang secara berkala bagi membantu murid dalam memahami subjek Sains dan Matematik secara menyeronokkan dan interaktif.

"Kami mahu pelajar UMT bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga mempunyai kemahiran komunikasi dan kepimpinan. Mereka akan membimbing pelajar sekolah melalui aktiviti pembelajaran STEM yang lebih dekat dengan dunia sebenar," katanya.

Discover UMT juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti demonstrasi teknologi, pertandingan inovasi, bengkel sains, pameran penyelidikan dan sesi bimbingan kerjaya oleh pensyarah dan penyelidik UMT sendiri.

No Image Caption

Penganjuran program ini dilihat seiring dengan usaha negara dalam memperkasakan bidang STEM terutamanya dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan menyokong pembangunan Ekonomi Hijau.

Pendedahan awal kepada bidang strategik seperti AI, biodiversiti marin, keselamatan makanan dan tenaga lestari mampu mencetuskan minat serta meningkatkan bilangan pelajar cemerlang yang memilih bidang sains sebagai laluan utama pendidikan mereka.

UMT melalui kekuatan dalam bidang kelautan, sains alam sekitar serta pelbagai pencapaian penyelidikannya diyakini mampu terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan tinggi yang berkualiti, berdaya saing dan inklusif.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp