Lapan bangunan tertinggi di dunia
Bangunan pencakar langit sering kali menjadi lambang kemajuan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara.
Ia bukan sahaja direka dengan kecanggihan seni bina tetapi juga menggabungkan teknologi moden untuk memastikan kestabilan dan keselamatan negara itu.
Dalam konteks ini, tahukah adik-adik bangunan apa yang paling tinggi di dunia bermula tahun 1910 hingga 2024?
Jom bersama Sinar Bestari untuk mengetahui lebih lanjut.
1) Menara Metropolitan Life, New York City, Amerika Syarikat (1909-1913)
Menara Metropolitan Life ialah sebuah pencakar langit bersejarah terletak di New York City, Amerika Syarikat (AS).
Dengan ketinggian 213 meter dan 50 tingkat, bangunan ini siap dibina pada tahun 1909 dan pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia hingga 1913.
Ia merupakan ibu pejabat bagi Metropolitan Life Insurance Company dan terletak berdekatan Madison Square Park.
Ia direka dalam gaya Beaux-Arts dan reka bentuknya diilhamkan oleh Menara Loceng di Venice, Itali, iaitu St Mark's Campanile.
Ciri yang paling menonjol ialah jam besar di setiap sisi menara yang masih berfungsi hingga hari ini.
Walaupun bukan lagi antara bangunan tertinggi, Menara Metropolitan Life tetap menjadi sebahagian penting dalam sejarah seni bina New York City dan menjadi salah satu mercu tanda yang diiktiraf di bandar tersebut.
2) Bangunan Woolworth, New York City, Amerika Syarikat (1913-1930)
Woolworth berketinggian 241 meter dan 60 tingkat serta pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia dari tahun 1913 hingga 1930. Bangunan ini dibina dengan gaya Neo-Gothic, menjadikannya kelihatan seperti katedral, dengan menara dan ukiran mewah.
Bangunan Woolworth dinamakan sempena Frank W Woolworth, pengasas rangkaian kedai Woolworth, yang menugaskan pembinaannya.
Manakala rekaannya daripada arkitek, Cass Gilbert dan dikenali sebagai ‘Katedral Perdagangan’ kerana ia menggambarkan kemewahan dan kemajuan ekonomi pada era tersebut.
Hari ini, bangunan ini masih dianggap sebagai salah satu karya seni bina paling mengagumkan di New York City dan merupakan mercu tanda bersejarah yang dilindungi.
3) Bangunan Chrysler, New York City, Amerika Syarikat (1930-1931)
Chrysler salah satu contoh seni bina art deco yang paling terkenal di dunia.
Dibina pada tahun 1930, bangunan ini setinggi 319 meter dengan 77 tingkat.
Sewaktu ia siap dibina, Chrysler seketika menjadi bangunan tertinggi di dunia, sebelum diatasi oleh Empire State pada tahun berikutnya.
Bangunan ini dinamakan sempena Walter Chrysler, pengasas syarikat kereta Chrysler, yang menugaskan pembinaannya.
Reka bentuknya unik dan futuristik dengan hiasan berbentuk lengkungan keluli tahan karat di puncaknya, melambangkan kemajuan teknologi dan industri automotif pada masa itu.
Walaupun tidak lagi memegang rekod ketinggian, bangunan Chrysler kekal sebagai salah satu mercu tanda seni bina paling dihargai di New York City.
4) Bangunan Empire State, New York City, Amerika Syarikat (1931-1973)
Ketinggian Empire State adalah 381 meter, mempunyai 102 tingkat dan pernah menjadi bangunan tertinggi di dunia dari tahun 1931 hingga 1973.
Empire State dibina dalam gaya art deco, salah satu gaya seni bina yang terkenal pada awal abad ke-20.
Bangunan ini menjadi simbol kemajuan dan kekuatan New York selain sering muncul dalam filem dan budaya popular.
Salah satu ciri paling menarik ialah dek pemerhatian di tingkat 86 dan 102 yang menawarkan pemandangan panoramik bandar New York.
Walaupun sudah tidak lagi menjadi bangunan tertinggi di dunia, Empire State kekal sebagai mercu tanda terkenal dan destinasi pelancongan utama.
5) Menara Wills, Chicago, Amerika Syarikat (1973-1998)
Menara Willis yang sebelum ini dikenali sebagai Sears Tower, adalah bangunan pencakar langit ikonik di Chicago, Amerika Syarikat (AS).
Mempunyai ketinggian 442 meter dengan 110 tingkat, menjadikannya bangunan tertinggi di dunia dari tahun 1973 hingga 1998.
Menara ini kekal sebagai salah satu mercu tanda paling terkenal di AS dan bangunan tertinggi di Chicago.
Direka oleh arkitek, Bruce Graham dan jurutera struktur, Fazlur Rahman Khan, Menara Willis menampilkan reka bentuk moden inovatif dan dibina untuk menahan angin kencang yang sering melanda Chicago.
Salah satu tarikan utamanya ialah Skydeck, terletak di tingkat 103, di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan bandar Chicago dan sekitarnya termasuk pengalaman berjalan di atas lantai kaca yang menonjol keluar dari bangunan.
6) Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, Malaysia (1998-2004)
Menara Berkembar Petronas ialah sepasang menara pencakar langit yang menjadi mercu tanda ikonik di Kuala Lumpur.
Menara ini setinggi 452 meter dan mempunyai 88 tingkat menjadikannya menara berkembar tertinggi di dunia.
Dibuka pada tahun 1998, ia direka arkitek, Argentina César Pelli dan menggabungkan elemen seni bina Islam dalam reka bentuknya.
Menara ini menempatkan pelbagai pejabat korporat termasuk ibu pejabat Petronas.
Salah satu ciri utama Menara Berkembar Petronas ialah Jambatan Udara (Skybridge) yang terletak di tingkat 41 dan 42, menghubungkan kedua-dua menara.
Jambatan ini terbuka kepada orang awam dan menawarkan pemandangan bandar Kuala Lumpur dari ketinggian.
7) Taipei 101, Taipei, Taiwan (2004-2009)
Taipei 101, bangunan pencakar langit pernah memegang gelaran sebagai bangunan tertinggi di dunia dari tahun 2004 hingga 2010, sebelum diatasi oleh Burj Khalifa.
Dengan ketinggian 508 meter dan 101 tingkat, bangunan ini menjadi ikon seni bina moden di Taiwan.
Taipei 101 terkenal dengan reka bentuknya unik yang menggabungkan unsur tradisional budaya Cina dengan teknologi moden.
Ia dibina untuk menahan gempa bumi dan taufan yang sering berlaku di kawasan tersebut.
Selain pejabat dan pusat membeli-belah, Taipei 101 juga mempunyai dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan menakjubkan bandar Taipei dari atas.
8) Burj Khalifa, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (2010-kini)
Dengan ketinggian 828 meter dan 163 tingkat, Burj Khalifa menjadi ikon kejuruteraan moden sejak pembinaannya selesai pada tahun 2010.
Bangunan ini direka oleh arkitek terkenal, Adrian Smith dan pembinaannya mengambil masa kira-kira enam tahun.
Burj Khalifa berfungsi sebagai bangunan pelbagai guna, menempatkan pejabat, kediaman mewah, hotel, restoran dan juga dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan panoramik Dubai.
Struktur bangunan ini direka bentuk menggunakan teknologi canggih untuk memastikan kestabilan walaupun pada ketinggian yang luar biasa.