Sultan Nazrin bertitah, usaha ini untuk meminimumkan penggunaan plastik sekali guna atas kesedaran impak negatif kepada alam sekitar dan kesihatan. Foto: Bernama
Sultan Nazrin bertitah, usaha ini untuk meminimumkan penggunaan plastik sekali guna atas kesedaran impak negatif kepada alam sekitar dan kesihatan. Foto: Bernama

Larangan guna botol, bungkusan plastik - Sultan Nazrin

23 Feb 2024 12:38pm

Sekolah-sekolah agama berasrama penuh di Perak diarahkan untuk tidak membenarkan para pelajar menggunakan minuman dan makanan dalam botol dan bungkusan plastik.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, usaha itu dirintis Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk meminimumkan penggunaan plastik sekali guna atas kesedaran impak negatif kepada alam sekitar dan kesihatan.

"Dunia kini diancam dengan impak negatif ke atas alam sekitar akibat penggunaan plastik sekali guna yang tidak terkawal.

"Kebanyakan bahan plastik tidak akan musnah sepenuhnya, sebaliknya hanya terurai kepada partikel lebih kecil yang dikenali sebagai mikroplastik, yang kini ditemukan dalam organ-organ dalaman manusia.

“Kesan jangka panjang mikroplastik ke atas kesihatan manusia dan alam sekitar perlu diberikan perhatian serius," titah baginda.

Antara botol plastik sekali guna yang sering diguna pelajar dan orang ramai.
Antara botol plastik sekali guna yang sering diguna pelajar dan orang ramai.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak, pada Jumaat.

Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, inisiatif MAIPk dan JAIPk menerapkan budaya mengurangkan penggunaan plastik sekali guna itu hendaklah dicontohi semua jabatan dan agensi di Perak.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia, masjid, surau, rumah-rumah ibadat, badan bukan kerajaan (NGO), sewajibnya mendidik dan menyemaikan kesedaran dalam kalangan generasi muda untuk mengamalkan budaya hidup lebih sihat dengan mempergiatkan kempen 'Tidak Menggunakan Plastik Sekali Guna' dalam kalangan rakyat beta," titah baginda. – Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp