pexels-gustavo-fring-3985166
pexels-gustavo-fring-3985166

Lebih 1,000 pelajar banjiri PPV di Labuan untuk dos kedua vaksin Covid-19

Roshlawaty Md Raieh
16 Oct 2021 10:11pm
A
A
A

LABUAN - Lebih 1,000 pelajar membanjiri pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Darul Kifayah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lada di sini untuk melengkapkan dos kedua vaksin Covid-19 mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Labuan, Rithuan Ismail berkata, pelajar yang berumur 13 hingga 17 tahun itu ditemani ibu bapa dan penjaga masing-masing.

"Pelajar tiba seawal pukul 7 pagi untuk mengelakkan kesesakan dan sehingga tengah hari masih terdapat sekumpulan besar yang menunggu.

"Ramai petugas kesihatan dan sukarelawan telah ditugaskan untuk membantu melancarkan proses vaksinasi,” katanya kepada Bernama.

Rithuan berkata, 84.80 peratus daripada keseluruhan 10,094 senarai murid (12-17 tahun) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan daripada jumlah itu, 35.50 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin, setakat 13 Oktober lalu.

Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju untuk membuka semula sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan di sini dalam Fasa 1, mulai 4 Oktober lepas melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan 6.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan di Labuan itu dibuat setelah menilai bahawa pulau bebas cukai ini adalah satu-satunya wilayah negeri dan Persekutuan yang beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) susulan penularan Covid-19 yang dapat dikawal.

Sementara itu, seorang ibu, Wardati Mohd Yusof, 46, yang ditemui di PPV Kompleks Darul Kifayah berkata, anak perempuannya yang berumur 14 tahun menerima janji temu untuk suntikan dos kedua bagi menghadiri kelas yang akan dibuka semula pada 30 Oktober.

"Penting untuk menyuntik vaksin Covid-19 ini supaya kita terus bergerak maju dan keluar daripada pandemik ini...namun kita belum sampai lagi ke tahap itu (pulih daripada pandemik), lebih ramai perlu divaksinasikan supaya kita boleh kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.

Baca juga Kenali jenis-jenis komputer yang ada di seluruh dunia

Baca juga 8 tip mengawal gemuruh di atas pentas

Hanya 27.13 peratus pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok di Pulau Pinang divaksin

Sementara itu, kerajaan Pulau Pinang menggesa ibu bapa dan waris anak-anak yang belajar di sekolah agama, tahfiz dan pondok pengajian Islam di negeri ini, untuk hadir secara jumpa terus di 10 buah PPV yang masih beroperasi bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Agro, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Norlela Ariffin berkata, sehingga semalam, hanya 27.13 peratus daripada 5,654 pelajar dari tiga jenis sekolah itu telah menerima vaksin dan jumlah tersebut disifatkan sangat rendah.

"Hanya 1,534 pelajar atau 27.13 peratus telah menerima vaksin manakala 4,120 pelajar di tiga jenis sekolah tersebut masih belum menerima suntikan. Saya minta ibu bapa atau waris mereka untuk segera membawa anak-anak bagi mendapatkan vaksin, kerana sekolah juga akan mula dibuka bagi sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

Gambar hiasan daripada Pexels.

"Lagipun 10 buah PPV yang beroperasi sekarang akan ditutup bermula awal bulan depan, jadi jika pelajar-pelajar tidak mendapatkan suntikan segera kami bimbang mereka perlu mendapatkan di klinik swasta yang kemungkinan dikenakan caj bagi perkhidmatan berbanding di PPV yang hanya percuma,” katanya.

Menurut beliau mengikut Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), vaksinasi pelajar di tiga jenis sekolah itu diuruskan oleh keluarga masing-masing, dan vaksin yang diberikan kepada golongan remaja ialah Pfizer-BioNTech.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Norlela berkata, seramai 85.9 peratus atau 121,489 daripada 141,500 golongan remaja di Pulau Pinang telah menerima vaksin dos pertama dan mereka juga mula menerima dos kedua sejak semalam.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 126,452 orang adalah pelajar dari 400 buah sekolah yang berdaftar di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan seramai 112,126 atau 89.3 peratus telah menerima suntikan dos pertama.

"Jadi saya juga minta golongan remaja berusia 12 tahun ke atas yang belum terima suntikan agar hadir segera di PPV yang masih beroperasi untuk terima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

Sementara itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan akan mempertimbangkan untuk memberikan suntikan dos penggalak kepada 40,000 petugas barisan hadapan dan 482,000 warga emas dan pesakit komorbid di Pulau Pinang dengan segera.

"Ini untuk perlindungan tambahan kepada mereka supaya tidak berlaku peningkatan kes Covid-19 kategori tinggi terutama selepas kebenaran rentas negeri dibenarkan,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok