product-school-ypZHyD1TqP0-unsplash
product-school-ypZHyD1TqP0-unsplash

8 tip mengawal gemuruh di atas pentas

Roshlawaty Md Raieh
12 Oct 2021 04:49pm
A
A
A

Perasaan gemuruh merupakan perkara biasa yang sering dialami oleh semua orang.

Sama ada semasa temu duga, berpidato, hari pertama bekerja dan sebagainya, gemuruh pasti hadir walaupun kita sudah membuat latihan dan persediaan yang secukupnya.

Guru Bimbingan dan Kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, Zubaidah Ahmad berkata, pelajar mesti berusaha untuk mengatasi perasaan gemuruh jika mahu berjaya.

“Semua pelajar mempunyai bakat dan kebolehan masing-masing. Saya ambil contoh dalam bidang pengacaraan. Ramai yang berbakat cuma perlu ada lebih keberanian dan keyakinan dalam diri,” katanya yang aktif dalam bidang pengacaraan sepanjang 20 tahun berkhidmat sebagai guru.

Menurut Cikgu Zubaidah, keyakinan boleh dipupuk asalkan ada kemahuan di dalam diri untuk belajar dan menimba pengalaman.

“Jangan takut apabila melakukan kesilapan kerana tiada manusia yang sempurna dan tidak pernah melakukan kesalahan.

“Perasaan gemuruh adalah sesuatu yang normal. Ia dapat dirasai oleh semua orang ketika ingin memulakan sesuatu yang baharu. Apatah lagi untuk memulakan percakapan dihadapan khalayak ramai,” ujarnya.

Bagi mengawal perasaan gemuruh terutamanya ketika di atas pentas, Cikgu Zubaidah kongsikan lapan tip penting. Ini perkongsiannya.

1) Persediaan rapi

Anda perlu melakukan persediaan yang rapi sebelum acara bermula di mana sediakan teks atau bahan ucapan lebih awal. Bukan itu sahaja, anda juga perlu menyediakan pakaian yang kemas dan bersih. Pada masa yang sama pastikan kesemua alatan yang akan digunakan berfungsi dengan baik. Penjagaan emosi juga penting kerana ia akan mempengaruhi mood dan keseluruhan perjalanan majlis.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

2) Latihan

Berlatih berulang kali dari aspek intonasi, isi dan gaya penyampaian. Beri tumpuan kepada perkataan sukar dan sebutan yang panjang.

3) Jaga pemakanan

Beberapa hari sebelum majlis anda perlu menjaga pemakanan dan kesihatan. Elakkan makan makanan pedas dan masam. Minum air mineral secukupnya dan pastikan tidur mencukupi.

4) Bersedia atau hadir awal 

Aturkan masa dengan baik, agar dapat hadir awal ke lokasi atau bersedia di dalam talian. Ini akan memberi peluang untuk anda membuat persiapan dan raptai sebelum majlis bermula.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

5) Teknik relaksasi

Gunakan teknik pernafasan yang betul. Anda juga boleh bertenang dengan membaca doa. Yakin di dalam diri, tuhan sentiasa bersama dan membantu anda

6) Kenali sudut menyenangkan

Kenali wajah-wajah penonton atau sudut yang menenangkan. Apabila di atas pentas lihat wajah-wajah atau sudut tersebut. Ini akan mewujudkan perasaan selamat dan tenang di dalam diri. Secara tidak langsung, teknik ini juga dapat membantu membina eye contact dengan penonton.

Gambar hiasan daripada Unsplash.

7) Senyum

Sebelum bermula, ambil masa beberapa saat untuk senyum. Ini dapat memberi isyarat kepada penonton bahawa anda yakin untuk berucap. Selain itu senyum juga adalah isyarat bersedia untuk berucap. Malah dengan senyuman ia boleh menutup perasaan gemuruh itu.

8) Berfikiran positif

Fikiran yang positif akan membentuk emosi yang stabil dan akan melahirkan tindakan yang baik. Sentiasa bermonolog di dalam diri dan mengamalkan gaya hidup sihat, bersyukur dan menghargai kehidupan. Fikiran yang positif akan membantu kita lebih optimis dan bersedia membuat penambahbaikan di dalam diri.

Artikel berkaitan 

Guru kelas mesti jalankan tugas-tugas ini ketika berada di sekolah, ini antara senarainya!

5 tip penting menghasilkan inovasi untuk pertandingan, ini perkongsian Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013

Amal 10 tip skor Biologi ini, pelajar pasti terkejut melihat hasilnya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok