
Lebih 12,000 masalah keciciran pengenalan diri pelajar selesai Jun nanti, kongsi JPN
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyasarkan untuk menyelesaikan kesemua 12,101 masalah keciciran dokumentasi membabitkan pelajar sekolah aliran perdana di seluruh negara seawal Jun ini.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias berkata, usaha menerusi inisiatif Mekar Didik yang merupakan nilai tambah kepada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN itu kini telah menyelesaikan kira-kira 35 peratus masalah sejak dilancarkan November 2024.
"Daripada jumlah keseluruhan yang turut babitkan pelajar bukan warganegara itu, Sabah mencatatkan bilangan tertinggi sasaran iaitu 6,997, diikuti Selangor sebanyak 1,833 dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 496.
"Setakat ini, setelah beberapa bulan ia bermula...semua negeri telah mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri. Di Sabah, kita telah berjumpa dengan pengarah pendidikan dan insya-Allah akan dapat kelulusan untuk masuk ke semua sekolah dalam masa terdekat.
"Jadi, dengan jumlah di Sabah yang hampir 7,000 itu, kalau boleh masuk, saya ingat sasaran kita akan dapat selesaikan semua masalah keciciran dokumentasi di sekolah aliran perdana hingga Jun atau Disember tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan projek baik pulih rumah asnaf melalui inisiatif Kampung Angkat Madani JPN di Kampung Padang Tanjung, Terengganu pada Sabtu.
Mekar Didik yang juga hasil kolaborasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertujuan mengatasi isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah yang layak, namun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri seperti Sijil Lahir, Kad Pengenalan (MyKad) dan Sijil Kewarganegaraan. - Bernama