Sebahagian murid SK Kutan yang terpilih sedang memilih kasut sekolah mereka.
Sebahagian murid SK Kutan yang terpilih sedang memilih kasut sekolah mereka.

Lebih 130 kanak-kanak dapat baju sekolah percuma

09 Feb 2024 08:04pm

Seramai 135 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kutan, Wakaf Bharu, Kelantan menikmati kenangan indah apabila diraikan dengan membeli-belah pakaian sekolah.

Momen indah itu dilaksanakan oleh sebuah syarikat perumahan di Kelantan yang turut menghidangkan makanan enak di sebuah restoran makanan segera, Mydin Mall kepada murid yang terlibat.

Dalam tempoh lebih dua jam membeli-belah itu, mereka memilih sepasang seragam sekolah lengkap dengan kasut dan sepasang pakaian sukan sebagai persediaan memasuki sesi baharu Mac nanti.

Seorang murid, Darwish Hakim Zukri, 11, mengakui sangat gembira kerana dapat membeli barangan keperluan persekolahan selain seragam dan pakaian sukan.

"Saya juga membeli beg sekolah. Tidak sabar untuk memakai pakaian baharu pada Mac ini," katanya kepada Sinar Bestari.

Dari kiri: Wan Harisha dan Darwish Hakim.
Dari kiri: Wan Harisha dan Darwish Hakim.

Anak bongsu kepada peniaga kedai runcit itu berkata, ibu bapanya tidak perlu membelikannya pakaian sekolah kerana semua sudah lengkap.

Artikel Berkaitan:

Murid darjah lima, Wan Harisha Fatin Wan Sofi pula seronok menaiki bas bersama rakan-rakan dari sekolah itu untuk membeli belah bersama.

"Kami datang awal kerana mahu memilih pakaian sekolah dan dapat makan menikmati makanan yang sedap di sini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ATH Group, Norlisan Ramzai berkata, kesemua murid itu dipilih oleh guru dan tiga buah bas disediakan bagi memudahkan mereka datang ke pasar raya berkenaan.

Jelasnya, persediaan dengan membeli barangan keperluan sekolah lebih awal dapat membantu ibu bapa mengurangkan perbelanjaan.

"Kami mahu berkongsi keceriaan bersama murid-murid ini kerana ada di antara mereka ialah anak yatim dan keluarga miskin.

"Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat mengurangkan beban ibu bapa dan kewangan yang ada boleh dibelanjakan untuk Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp