Kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit, Lorong Haji Taib dan Kampung Baru mendapatkan perkhidmatan rawatan pergigian percuma melalui program DFTN @ Chow Kit, baru-baru ini.
Kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit, Lorong Haji Taib dan Kampung Baru mendapatkan perkhidmatan rawatan pergigian percuma melalui program DFTN @ Chow Kit, baru-baru ini.

Kesihatan gigi kanak-kanak jalanan membimbangkan

13 Feb 2024 04:30pm
A
A
A

Usia kanak-kanak lelaki ini baru empat tahun tapi kedatangannya ke lorong belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur untuk mendapatkan perkhidmatan pergigian mengejutkan sekumpulan doktor gigi yang terlibat dalam rawatan percuma untuk golongan gelandangan dan miskin bandar.

Ini kerana, keadaan struktur gigi anak ini sangat tidak sihat apabila kebanyakan gigi susunya sudah menjadi tunggul gigi selain lebih daripada 10 gigi berlubang dan tidak boleh diselamatkan atau ditampal.

Oleh kerana tiada pilihan, doktor gigi terpaksa mencabut kesemua gigi susu kanak-kanak berkenaan bagi mengelak risiko lebih parah sehingga menyebabkan keradangan pada gusi mahupun hujung akar gigi yang mengakibatkan bengkak, bernanah sekali gus terdedah pelbagai penyakit.

"Kanak-kanak lelaki ini berhadapan masalah karies awal kanak-kanak yang memerlukan kesemua giginya dicabut berbanding usia sepatutnya.

“Setiap gigi susu mempunyai umur untuk tertanggal sebelum pertumbuhan gigi kekal, gigi depan misalnya dalam umur enam hingga tujuh tahun bergantung kepada struktur gigi.

"Apabila terpaksa dicabut lebih awal iaitu dua atau tiga tahun sebelum pertumbuhan gigi kekal, kanak-kanak ini akan sukar makan sekali gus mengganggu proses tumbesarannya apabila kurang mendapat nutrisi sepatutnya," kata Pensyarah Pelatih Pakar Pergigian Kesihatan Awam Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Nazmi Abdul Majid kepada Bernama.

Situasi menyedihkan itu bukan hanya dialami kanak-kanak lelaki berkenaan, sebaliknya turut dialami kebanyakan kanak-kanak jalanan di sekitar Chow Kit, Lorong Haji Taib dan Kampung Baru yang ditemui semasa perkhidmatan rawatan pergigian percuma.

Muhammad Nazmi yang juga setiausaha program Dentistry For The Needy (DFTN @ Chow Kit) berkata, keadaan itu sangat membimbangkan kerana tidak wajar berlaku di tengah kawasan bandar yang mempunyai kemudahan perkhidmatan rawatan pergigian.

Artikel Berkaitan:

GIGI 2
GIGI 2

"DFTN memberikan rawatan pergigian percuma kepada komuniti ini pada Khamis minggu akhir setiap bulan.

“Kami dapati antara lima hingga lapan kanak-kanak jalanan ini berhadapan masalah kesemua gigi terpaksa dicabut awal berbanding usia sepatutnya dan jumlahnya mengejutkan.

"Situasi begini tidak berlaku di kawasan luar bandar yang akses rawatan pergigian percuma sukar diperoleh.

“Ketiadaan dokumen pengenalan diri antara faktor membuatkan ibu bapa tidak membawa kanak-kanak jalanan mendapatkan rawatan pergigian percuma di mana-mana klinik kerajaan selain kurangnya pengetahuan penjagaan kesihatan mulut dan gigi," katanya.

Selama lebih enam tahun program DFTN ini digerakkan Persatuan Doktor Pergigian Islam Malaysia, Muhammad Nazmi berkata, ketiadaan dokumen pengenalan diri telah menafikan hak kanak-kanak jalanan berkenaan untuk mendapatkan rawatan pergigian di fasiliti kesihatan kerajaan dengan harga subsidi untuk warganegara.

Ini kerana, untuk melakukan rawatan pergigian di mana-mana klinik kerajaan untuk tampalan misalnya, mereka yang bukan warganegara perlu membayar kira-kira RM50 dan itu tidak termasuk kos pendaftaran (RM40) mahupun cabutan gigi (RM50).

"Keadaan ini menyebabkan komuniti miskin bandar dan gelandangan terpaksa mengutamakan makanan buat keluarga berbanding penjagaan kesihatan termasuklah gigi.

“Kebanyakan kanak-kanak jalanan menghadapi masalah gigi disebabkan jenis makanan yang dimakan.

"Ibu bapa kanak-kanak ini tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat dan kebanyakannya asal makan, dapat beri tenaga termasuk makanan tidak sihat seperti jajan dan benda-benda manis sekali gus meningkatkan risiko kerosakan gigi apabila tidak dijaga," menurut Naib Pengerusi DFTN, Dr Bryan Sasikaran.

Polemik serius

Mungkin ada beranggapan ia sekadar masalah gigi dan tidak mengundang polemik serius, namun kerosakan gigi tidak boleh dipandang mudah.

Ia kerana, kerosakan gigi bukan hanya mengganggu produktiviti seseorang tetapi berisiko 'maut' apabila bengkak dan nanah pada gigi yang dibiarkan boleh mengganggu saluran pernafasan.

Malah, kejadian malang ini pernah dilaporkan berlaku pada kanak-kanak jalanan di negara miskin.

"Di kawasan wajah melibatkan banyak saraf, saluran darah dan rongga yang terlibat dekat dengan bahagian vital badan seperti saluran pernafasan.

“Oleh itu, masalah gigi tidak boleh dipandang ringan. Kami amat mengharapkan kerajaan memainkan langkah lebih proaktif membantu kanak-kanak jalanan bagi membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan kerajaan.

"Kita juga sudah mendengar berita-berita sebelum ini akan kebijaksanaan kanak-kanak jalanan ini dalam pelajaran dan amat merugikan apabila mereka yang sewajarnya menjadi pelapis negara dinafikan dalam pelbagai hak hanya kerana tidak mempunyai dokumen kerakyatan diri," ujar Bryan.

Dalam pada itu, kesukaran dihadapi gelandangan dan miskin bandar yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, membuatkan DFTN aktif turun padang bagi membantu penjagaan gigi komuniti selain meningkatkan kesedaran mereka.

Bryan berkata, antara rawatan ditawarkan adalah cabutan, tampalan dan rawatan pencegahan dengan meletakkan gel florida bagi menghalang lubang gigi daripada berlaku.

"Kita juga mengagihkan berus dan ubat gigi serta memberi tunjuk ajar kepada mereka tentang tatacara kebersihan mulut seperti memberus gigi dengan betul selain menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma seperti ujian tekanan darah dan kandungan gula," jelasnya.

Bryan yang merupakan doktor gigi residen Klinik Pergigian Rayyan Rafeeqi di Pajam, Nilai berkata lagi, sebanyak 10 hingga 20 kanak-kanak akan hadir setiap bulan untuk melakukan pemeriksaan gigi dengan pelbagai rawatan disediakan.

"Kebanyakannya takut untuk berjumpa kami ketika awal-awal dahulu dan disebabkan itu, pelbagai aktiviti santai dilakukan untuk membuatkan mereka selesa.

“Sekarang semakin ramai datang untuk membuat pemeriksaan gigi bahkan tahap kebersihan mulut semakin baik," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok