Sebahagian pemenang aktiviti sempena Karnival Mesra Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Pulau Ketam 3.0 yang berlangsung baru-baru ini.
Sebahagian pemenang aktiviti sempena Karnival Mesra Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Pulau Ketam 3.0 yang berlangsung baru-baru ini.

Lebih 250 murid sertai Karnival Mesra Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Pulau Ketam 3.0

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
11 Sep 2025 02:58pm

Suasana ceria dan penuh semangat mewarnai perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Ketam, Selangor apabila lebih 250 murid dan 80 guru menyertai Karnival Mesra Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Pulau Ketam 3.0.

Program yang dianjurkan SMK Pulau Ketam dengan kerjasama Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Hwa Lien, SJKC Sin Bin, SJKC Keng Chee serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Pulau Ketam itu menjadi medan mengangkat martabat Bahasa Melayu di samping merapatkan hubungan antara murid, guru, ibu bapa dan komuniti setempat.

Ia juga bertujuan memperkasa penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan mewujudkan jalinan mesra yang merentas latar budaya dan etnik di Pulau Ketam.

Pelbagai aktiviti menarik berteraskan bahasa dilaksanakan sepanjang karnival berlangsung.

Antaranya pertandingan 3 Minit Bercerita, deklamasi sajak secara dalam talian, nyanyian berkumpulan, permainan Buka Dulu Baru Eja, pameran papan bahasa yang menampilkan hasil kreativiti murid, infografik poster peristiwa bersejarah dan Pertandingan Saya Pengarang.

Menariknya, murid-murid yang sebelum ini kurang fasih berbahasa Melayu kini tampil dengan lebih yakin dan berani di pentas, mencerminkan keberkesanan pendekatan program dalam memupuk keyakinan diri dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Keterlibatan aktif komuniti juga memberi nilai tambah kepada karnival kali ini dengan menjadikan bahasa sebagai jambatan perpaduan yang menghubungkan pelbagai latar belakang budaya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Klang (Sektor Pembelajaran), Dr Nor Hayati Ramlan menegaskan bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi.

"Tetapi ia juga wahana perpaduan dan identiti nasional yang perlu diperkasa sejak di bangku sekolah," katanya ketika berucap sekali gus merasmikan kemuncak karnival di Dewan SJKC Hwa Lien.

Hadir sama barisan SISC+ Bahasa PPD Klang, guru-guru SJKC Pulau Ketam dan delegasi Karnival Mesra Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Pelabuhan Klang yang terdiri daripada SMK Raja Lumu, SJKC Pandamaran A, SJKC Pandamaran B, SJKC Thsing Nian dan SJK (T) Persiaran Raja Muda Musa.

Dalam pada itu, Pengarah Program, Deebamalar Pandi menekankan bahawa usaha memperkukuh penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid Pulau Ketam adalah keperluan mendesak demi memastikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran akademik dan alam pekerjaan pada masa hadapan.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp