1210053 (1)
1210053 (1)

Lebih 25,000 pelajar di Petaling Perdana layak terima vaksin

Mohd Khairi Mohamad Yusri
29 Sep 2021 10:38am
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 25,539 pelajar di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana layak menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang berlangsung selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat ini.

Timbalan Pegawai PPD Petaling Perdana, Musa Ismail berkata, mereka membabitkan pelajar dari 39 sekolah, termasuk 18 pelajar orang asli di daerah berkenaan.

"Saya dapati sambutan amat menggalakan di mana pelajar dilihat datang sejak awal pagi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bersama ibu bapa mereka bagi mendapatkan penerangan seterusnya persetujuan untuk mendapatkan vaksin.

"Seramai 70 pegawai PPD dan guru sekolah turut membantu memantau bagi melancarkan lagi perjalanan pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar di PPV ini," katanya kepada Sinar Harian selepas membuat tinjauan di PPV Dewan Canselor Management & Science University (MSU) di Seksyen 13, di sini pada Isnin.

MSU dalam kenyataannya minggu lalu turut memaklumkan, mereka memberi vaksin kepada 45,000 pelajar sekolah menengah di daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana, secara berperingkat.

Presiden MSU dan Pusat Perubatan MSU (MSUMC), Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pemberian vaksin kepada pelajar sekolah itu adalah kesinambungan pemberian vaksin melalui inisiatif komprehensif Partnership for Covid Elimination (PaCE) dan Pusat Perubatan MSU (MSUMC) sebelum ini.

"Sekarang ini, kita membantu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan PPD di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi pemberian vaksin kepada pelajar di Petaling Perdana dan Petaling Utama," katanya selepas melawat PPV itu minggu lalu.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok