Sumbangan bertujuan memberi bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan sepanjang sesi pembelajaran dijalankan. (Gambar hiasan)
Sumbangan bertujuan memberi bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan sepanjang sesi pembelajaran dijalankan. (Gambar hiasan)

Lebih 790 murid Orang Asli di Perak terima bantuan persekolahan YBR

27 Jun 2024 10:55am
A
A
A

Seramai 792 murid Orang Asli di Perak menerima peruntukan dengan jumlah keseluruhan RM25,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Persatuan Orang Asli Perak bagi meneruskan sesi persekolahan bagi tahun ini.

YBR dalam kenyataan memaklumkan bantuan itu diserahkan pada Majlis Perasmian Bantuan Persekolahan YBR yang disempurnakan Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang di Dewan Sekolah Kebangsaan Pos Raya Simpang Pulai, Perak pada Rabu.

Hadir sama ialah Presiden Pembangunan Orang Asli Malaysia (MOADA), Bob Manolan Mohamad; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pengerusi Persatuan Orang Asli Perak, Datuk Suki Mee dan Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman.

Dimaklumkan, sumbangan itu bertujuan memberi bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan sepanjang sesi pembelajaran dijalankan.

Sementara itu, Philip dalam kenyataan sama memaklumkan jumlah bantuan yang diberikan tidaklah besar namun diharap dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti.

Bob Manolan pula berharap semoga inisiatif itu menjadi pemangkin untuk murid-murid Orang Asli berasa seronok ke sekolah serta mendapat pendidikan yang sama rata sama seperti murid lain.

Sehingga Jun 2024, seramai 19,240 murid serta 202 sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.74 juta yang melibatkan 53 lokasi. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok