Azman
Azman

Lima peranan ditekankan Ketua Pengarah Pendidikan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
04 Mar 2024 06:12pm

Sempena pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 minggu depan, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menyampaikan beberapa amanat penting kepada semua pemegang taruh iaitu pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sekolah serta masyarakat setempat.

Antara intipati amanat yang disampaikan Azman di Majlis Amanat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Sempena Seisi Pembukaan Persekolahan Seisi 2024/2025, pada Isnin adalah lima peranan penting yang perlu diberi tumpuan ramai.

Ujar beliau, peranan-peranan tersebut terdiri daripada guru, ibu bapa, komuniti dan swasta, kepimpinan sekolah serta peranan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Selanjutnya, Sinar Bestari kongsikan kenapa peranan tersebut begitu ditekankan Ketua Pengarah Pendidikan.

1) Peranan guru

Guru memainkan peranan penting sewaktu pembukaan semula sesi persekolahan untuk memastikan proses pembelajaran berjalan dengan lancar dan efektif.

Mereka perlu bersiap siaga memastikan bilik darjah dan persekitaran, memastikan bahan pembelajaran, aktiviti dan jadual Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang disediakan menyeronokkan dan dapat menarik minat murid untuk kembali belajar selepas cuti persekolahan.

Menyambut kedatangan murid dengan ramah, ceria dan penuh kasih serta memberikan semangat positif pada hari pertama persekolahan agar murid berasa diterima dan bermotivasi.

Artikel Berkaitan:

Memanfaatkan teknologi dan media pembelajaran yang terkini dengan bijaksana seperti menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI)

2) Peranan ibu bapa

Ibu bapa perlu memastikan kesejahteraan emosi dan mental anak-anak, kejayaan akademik dan perkembangan keseluruhan anak-anak mereka.

Mereka juga harus aktif dalam aktiviti yang dirangka oleh pihak sekolah termasuklah sesi orientasi dan mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

Sentiasalah berkomunikasi dengan guru untuk membincangkan kemajuan prestasi anak masing-masing.

3) Peranan komuniti dan swasta

Menyediakan sumber keperluan sekolah seperti kemudahan fasiliti dan bantuan kewangan bagi menjayakan aktiviti yang dilaksanakan sekolah.

Mengumpul dana untuk keperluan sekolah seperti memperbaiki fasiliti atau bantuan dalam bentuk buku, alat tulis, peralatan komputer atau peranti yang diperlukan dalam PdP.

Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS), mempunyai peranan cukup besar dalam memastikan dukungan dan juga sokongan terhadap program-program yang dirancang peringkat sekolah, PPD, JPN dan KPM.

PIBKS amat perlu bagi menjadikan ibu bapa dan komuniti sebagai satu medium membantu murid-murid melalui proses pembelajaran di sekolah.

4) Peranan kepimpinan sekolah

Peranan mereka termasuk penekanan kepada aspek penyampaian yang telus dan terus kepada pelaksana yang menjadi keutamaan dalam meningkatkan murid.

5) Peranan JPN dan PPD

Mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) dengan ibu bapa dan komuniti untuk menjelaskan mekanisme pembukaan sekolah dan perkara atau inisiatif yang sedang dilaksanakan pada peringkat KPM.

Hadir ke sekolah pada minggu pertama persekolahan untuk menzahirkan semangat kebersamaan semua peringkat pengurusan KPM dalam program minggu pertama persekolahan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp