Aaron (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan Profesor Emeritus Datuk Dr Asmah Omar (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti.
Aaron (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tokoh Ilmuwan Bahasa Kebangsaan Profesor Emeritus Datuk Dr Asmah Omar (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti.

Loghat dicadang dalam sukatan pelajaran pengajian kebahasan di IPT

06 Nov 2024 04:34pm

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan pengajian atau pelajaran mengenai bahasa kolokial dan dialek atau loghat tempatan dijadikan sebagai sukatan pelajaran bagi pengajian kebahasaan di institusi pendidikan tinggi.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, perkara itu dapat dilakukan dengan kerjasama erat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Program pendidikan yang melibatkan penceritaan, puisi dan seni persembahan dalam bahasa kolokial boleh meningkatkan penghargaan pelajar terhadap warisan linguistik mereka.

"Apabila kita sudah mengumpul maklumat mengenai pelbagai bahasa, langkah seterusnya adalah untuk institusi pengajian tinggi jadikan ia sebagai satu sukatan pelajaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024 pada Rabu.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Aaron berkata, dalam usaha membangunkan bahasa standard, beliau turut mencadangkan supaya bahasa dialek dan bahasa kolokial terutama bahasa atau dialek tempatan yang jarang digunakan perlu diperbanyakkan dimasukkan dalam kamus.

"Hal Ini boleh memperkaya kosa kata seterusnya menjadi sebahagian daripada bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pendidikan," katanya.

Beliau berkata, kajian terhadap bahasa kolokial dan dialek juga perlu diperluas dan dilakukan di semua negeri serta melibatkan semua bangsa, etnik dan suku kaum di Malaysia, dengan hasil kajian perlu diterbitkan.

Artikel Berkaitan:

Aaron berkata, Arkib Negara diharap dapat meneroka usaha pendigitalan teks lama, rakaman suara dan dokumen penting dalam bahasa kolokial yang membolehkan warisan itu disimpan dalam format digital serta mudah diakses oleh generasi akan datang.

"Projek ini boleh disokong dengan teknologi pengimbasan canggih dan pangkalan data awan yang memudahkan penyimpanan serta carian," katanya.

Sementara itu, Jaafar Sidek berkata, sebanyak 11 siri Bicara Bahasa Kolokial telah dilaksanakan sejak tahun lepas bagi mengangkat peranan bahasa sebagai ejen perpaduan.

Beliau berkata pada tahun hadapan pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti institusi pengajian tinggi, pengkaji dan penyelidik bahasa serta persatuan bahasa bagi mengumpul maklumat mengenai bahasa kolokial dan dialek.

"Kita cuba buat dokumentasi (bahasa kolokial dan dialek) dari seluruh negara, dan gerak kerja ini akan bermula tahun hadapan. Kita mahu mendokumenkan supaya bahasa ini tidak pupus dan ia akan menjadi warisan khazanah negara," katanya.

Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial diadakan bertujuan mengumpulkan dan mendokumentasikan maklumat berkaitan bahasa kolokial supaya kekal terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi akan datang.

Berlangsung selama dua hari hingga esok, konvensyen itu turut menampilkan pemimpin pengkaji bahasa dan budaya, penggiat seni sastera dan budaya, ahli akademik serta komuniti pelbagai kaum termasuk Sabah dan Sarawak bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik bagi mendokumentasikan dan melestarikan penggunaan bahasa kolokial dalam kalangan masyarakat. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp