Permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2026/2027 melibatkan program Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) akan dibuka bermula 29 Januari hingga 23 Mac 2026.
Permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2026/2027 melibatkan program Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) akan dibuka bermula 29 Januari hingga 23 Mac 2026.

Permohonan UPUOnline dibuka mulai 29 Januari hingga 23 Mac! Peluang lepasan SPM, STPM sambung pengajian

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
22 Jan 2026 03:36pm

Berita baik buat lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sedang merancang hala tuju pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Peluang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kini kembali dibuka menerusi sistem permohonan berpusat UPUOnline.

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), permohonan kemasukan pelajar bagi Sesi Akademik 2026/2027 melibatkan program Sijil, Asasi, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti serta dua institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT) akan dibuka bermula 29 Januari hingga 23 Mac 2026.

"Tempoh ini melibatkan Fasa Permohonan Lepasan SPM dan Fasa Pertama Lepasan STPM/Setaraf.

"Manakala permohonan bagi Fasa Kedua Lepasan STPM/Setaraf pula akan dibuka dari 13 April hingga 15 Mei 2026, sekali gus memberi ruang tambahan kepada calon yang ingin menyusun pilihan program dan institusi mengikut kelayakan masing-masing," maklum KPT dalam kenyataan media pada Khamis.

Kongsi KPT lagi, permohonan itu terbuka kepada pelajar lepasan SPM dan STPM/Setaraf bagi semua program pengajian pada Fasa Permohonan Lepasan SPM dan Fasa Pertama Lepasan STPM/Setaraf.

"Manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian sahaja dibuka pada permohonan Fasa Kedua Lepasan STPM/Setaraf," ujarnya.

Sementara itu, pembelian No Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Januari 2026 sebelum mengemukakan permohonan dengan harga RM 10.60 (termasuk cas perkhidmatan).

"Kaedah bayaran No Pin UPUOnline di BSN adalah melalui 387 Kaunter Cawangan BSN, 843 Automatic Teller Machine (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN. BSN akan mengeluarkan No Pin UPUOnline beserta salinan resit pembayaran.

Artikel Berkaitan:

"Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan. Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi," ujarnya.

Sebarang pertanyaan berkaitan permohonan UPUOnline boleh diaju kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, di Aras 4, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, 62000 Putrajaya atau menghubungi 03-8684 2363 serta melalui e-mel, upu@mohe.gov.my.

 

 

Ringkasan AI

  • Peluang pendidikan tinggi dibuka untuk lepasan SPM dan STPM melalui UPUOnline
  • Permohonan bagi Sesi Akademik 2026/2027 melibatkan 20 Universiti Awam, 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti dan dua institusi MARA
  • Permohonan dibuka dari 29 Januari hingga 23 Mac 2026 untuk Fasa Permohonan Lepasan SPM dan Fasa Pertama Lepasan STPM
  • Fasa Kedua Lepasan STPM/Setaraf dibuka dari 13 April hingga 15 Mei 2026
  • No Pin UPUOnline boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional mulai 28 Januari 2026 dengan harga RM 10.60
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp