'Mahu yakinkan Afghanistan pendidikan untuk wanita tak bercanggah Islam'
SHAH ALAM - Malaysia sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk Afghanistan yang dipimpin Taliban bagi mempelajari sistem pendidikan negara ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, usaha itu juga menjadi peluang terbaik untuk negara khususnya kementerian pimpinan beliau menonjolkan sisi terbaik pencapaian dan ekosistem pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.
Beliau menambah, selaku negara yang dianggap contoh oleh pihak luar, Malaysia juga harus berani dalam melawan diskriminasi dan terus memperjuangkan hak pendidikan untuk anak-anak perempuan di seluruh dunia.
"Malaysia boleh mengambil satu prinsip untuk memulaukan Afghanistan kerana pendirian Taliban dalam isu hak pendidikan wanita.
"Haram atau dibuka semula pintu sekolah untuk pelajar perempuan, kita yang berada jauh dari Afghanistan mungkin tidak terkesan.
"Tetapi andainya, saya mampu meyakinkan mereka bahawa memberikan pendidikan untuk kaum wanita tidak bercanggah dengan Islam, malah sejajar dengan nilai Islam, maka ia memberi makna yang besar untuk wanita di Afghanistan apabila melangkah masuk semula ke sekolah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng pada Rabu menggesa Fadhlina memberi penjelasan mengenai lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke KPM baru-baru ini.
Menurut Guan Eng, lawatan tersebut juga menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara tersebut.
Sementara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, beliau tidak akan melepaskan peluang untuk membuka mata mana-mana pihak dalam menjadikan dunia ini lebih inklusif dan progresif tanpa mengabaikan kaum atau agama tertentu.
"Menyedari hakikat ini, jikalau peluangnya setipis kulit bawang pun, saya tetap tidak akan melepaskannya. Misi membuka mata mereka telah selesai.
"Kini saya hanya mengharap mereka akan melaksanakan misi selanjutnya iaitu membuka sekolah dan membenarkan kanak-kanak perempuan di Afghanistan ke sekolah sebagaimana kanak-kanak perempuan di Malaysia," katanya.
Beliau dalam masa sama menegaskan, isu akses pendidikan bagi kumpulan pelajar perempuan sentiasa menjadi keutamaannya.