No Image Caption

Naib Canselor UPTM rangkul gelaran Women Empowerment Icon, penghargaan perkasa kaum wanita

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
13 Nov 2024 12:10pm

Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Profesor Madya Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh sekali lagi mencipta nama di pentas antarabangsa apabila menerima anugerah Women Empowerment Icon di atas pencapaiannya dalam memperkasakan wanita.

Anugerah itu diberikan ketika Majlis Perasmian Penutup ITEA Learning: E-Learning Material Development Competition yang menyaksikan pencapaian hebat wanita, selain memperkukuhkan komitmen UPTM dalam memperkasakan wanita melalui pendidikan digital dan pembelajaran jarak jauh (e-learning).

“Alhamdulillah saya tidak menyangka ada anugerah diberikan menerusi pertandingan yang dianjurkan oleh dua organisasi besar antarabangsa dengan lebih 10 cohost semuanya.

“Organisasi itu adalah International Cultural Communication Centre in Malaysia (ICCCM) dan International Transnational Education Association (ITEA).

“Ini pengiktirafan untuk saya tetapi dalam masa yang sama ia satu tanggungjawab untuk pastikan selepas ini apakah inisiatif-inisiatif yang dapat dijalankan bagi memastikan pemerkasaan wanita dan komuniti secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui Sinar Bestari pada Majlis Perasmian Penutup ITEA Learning: E-Learning Material Development Competition pada Selasa.

No Image Caption

Sharifah Syahirah turut berkongsi antara pencapaian dan usaha yang dilaksanakan bagi mengangkat darjat kaum wanita.

Selain menggalas tugas sebagai Naib Canselor UPTM, beliau juga memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dalam Persatuan Sains Sosial Malaysia dan National Council of Women Organisations.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat beberapa inisiatif yang sebelum ini dijalankan, selain terlibat secara aktif dalam beberapa aktiviti di bawah badan bukan kerajaan (NGO).

“Beberapa kajian telah saya jalankan salah satunya inisiatif meningkatkan lebih ramai jumlah wanita dalam sektor legislatif dan swasta.

“Inisiatif lainya berkaitan dengan polisi untuk memastikan tiada gangguan seksual di peringkat akta gangguan seksual itu sendiri dan juga dalam sukan,” katanya.

Dalam majlis sama, turut diadakan Memorandum Kerjasama Akademik dan Industri antara UPTM dengan empat institusi pengajian tinggi luar negara dan dua syarikat industri (bidang pendidikan dan komersil).

Selain itu, forum bertajuk Empowering Women Through E-Learning: Innovative Approachesand Solutions turut dijalankan menampilkan panelis antara Sharifah Syahirah, wakil Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), wakil negara Indonesia dan Filipina.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp