pexels-pixabay-267885
pexels-pixabay-267885

Malaysia-Australia kongsi kepakaran jaminan kualiti pendidikan tinggi era pandemik

Nor Azma  Muhamat Laila
26 Aug 2021 05:04pm
A
A
A

CYBERJAYA - Dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan tinggi sepanjang situasi pandemik, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkongsi kepakaran dalam siri webinar anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Jabatan Pendidikan, Kemahiran dan Kebolehpasaran (DESE), Australia bertajuk 'Pendidikan dan Penyelidikan di Era Covid-19'.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, siri webinar itu memberi peluang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan terutama mengenai jaminan kualiti dalam sektor pendidikan tinggi, pendidikan dalam talian serta kebolehpasaran graduan ketika pandemik Covid-19.

Menurut beliau, kerjasama dan perbincangan berterusan seumpama itu diperlukan daripada semua pihak berkentingan dalam sektor pendidikan tinggi termasuk institusi pengajian tinggi (IPT), industri, majikan dan agensi jaminan kualiti bagi mengekalkan serta menambah baik kualiti pendidikan tinggi biarpun selepas era pandemik Covid-19.

"Dalam era pandemik, platform pendidikan bertukar hampir keseluruhannya ke digital dan biarpun fleksibiliti diberikan MQA dalam aspek kaedah penyampaian pengajaran serta penilaian pelajar, kualiti pendidikan dalam talian tetap perlu memenuhi piawaian ditetapkan.

"Pihak MQA juga memberi panduan berterusan berkenaan jaminan kualiti di Malaysia dalam era pandemik Covid-19 menerusi sesi dialog pada hari bertemu pelanggan dengan IPT serta pemakluman dasar terkini menerusi Advisory Note," katanya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Beliau berkata demikian sebagai ahli panel pada siri pertama webinar berkenaan yang bertajuk 'Jaminan Kualiti dalam Pengajian Tinggi Dalam Talian di Australia dan Malaysia'.

Siri webinar berkenaan dikendalikan oleh Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohamad Dzafir Mustafa.

Ahli panel lain terdiri daripada Pengarah Unit Integriti Pengajian Tinggi, Agensi Kualiti dan Standard Pendidikan Tinggi, Australia, Dr Helen Gniel; Timbalan Naib Canselor, HELP University, Prof Dr Andy Liew dan Dekan (Transformasi Akademik), University of Southern Queensland, Australia, Prof Lyn Alderman.

Siri webinar selama tiga hari bermula 23 Ogos lalu menerusi platform Zoom itu dimulakan dengan ucapan daripada Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee dan Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff.

Mengulas lanjut, Khairul Salleh berkata, pelbagai fleksibiliti diberikan oleh KPT dan MQA kepada IPT dalam era Covid-19, justeru pentadbiran IPT perlu sentiasa peka dengan perkara yang dibenarkan dalam tempoh pandemik ini serta pengumuman terkini yang lain.

"Dalam tempoh ini (pandemik), kerjasama dalam kalangan IPT diperluaskan yang mana mereka juga dibenarkan berkongsi sumber untuk memudahkan pengajian bukan sahaja pelajar itu sendiri, malah IPT lain di sekitarnya," ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok