UN_TES_Logo
UN_TES_Logo

Malaysia beri komitmen pastikan kanak-kanak peroleh pendidikan sempurna

Adlan Farhan Azwan
21 Sep 2022 05:35pm
A
A
A

Malaysia akan terus berikan komitmen untuk menyokong, melibatkan diri serta bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kanak-kanak di negara ini terus mendapat pendidikan sempurna.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) merupakan satu tanggungjawab global dan Malaysia turut bekerja keras untuk melaksanakannya.

“Malaysia akan memastikan sistem pendidikan lebih saksama, inklusif, relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi krisis seperti Covid-19 dan sebarang kejutan lain pada masa hadapan.

“Oleh itu, kami terus mengukuhkan perkongsian dengan institusi dan industri untuk berkongsi pengalaman dan seterusnya mewujudkan pelbagai jenis inovasi,” katanya ketika berucap di New York, Amerika Syarikat sempena Transforming Education Summit (TES) 2022.

TES yang bermula 16 hingga 19 September lalu memberi tumpuan kepada usaha untuk mewujudkan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak global menerusi pelbagai kaedah yang bersesuaian.

Antara langkah transformasi utama yang dilakukan Malaysia termasuklah memperkenalkan konsep menyeluruh iaitu Sekolahku SEJAHTERA yang menggariskan 14 elemen.

Ia merangkumi komponen Education for Sustainable Development (ESD) dan Global Citizenship Education (GCED) dalam kurikulum kebangsaan yang bertujuan memberi galakkan budaya keamanan tanpa kekerasan kepada pelajar sejak muda.

Tambah Ismail Sabri, Malaysia menekankan pembelajaran secara maya melalui Digital Educational LEarning Initiative Malaysia (DELIMa) yang membolehkan pelajar mempunyai kecekapan digital.

“Kami juga menggalakkan kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta aktiviti ekstrakurikuler dalam usaha menyediakan pelajar pengalaman pembelajaran secara holistik,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Dua elaun pelajar tajaan Petronas dinaikkan serta-merta

Konsep Sekolahku Sejahtera terap 14 nilai murni, lahirkan generasi berdaya saing

KPT perkasakan inisiatif Rumah Siswa, platform pemudah cara pelajar dapatkan tempat kediaman


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok