pesp-petronas
pesp-petronas

Dua elaun pelajar tajaan Petronas dinaikkan serta-merta

Adlan Farhan Azwan
20 Sep 2022 06:14pm
A
A
A

Kenaikan harga barang yang sedang melanda negara telah memberi kesan kepada semua masyarakat terutamanya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Pelbagai inisiatif diambil para pelajar bagi mengurangkan beban yang terpaksa dipikul untuk memastikan proses pengajian mereka dapat dilaksanakan dengan sempurna serta menanggung kos-kos yuran pengajian dan banyak lagi.

Sehubungan itu, khusus bagi pelajar di bawah tajaan PETRONAS, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kenaikan dua kategori elaun pelajar membabitkan 2,267 penerima berkuatkuasa serta-merta.

Salah seorang penerima elaun tajaan PETRONAS yang disampaikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, dua kategori itu adalah kenaikan elaun buku dan peralatan belajar daripada RM1,000 kepada RM1,500 untuk pelajar di Malaysia dan tambahan RM500 untuk pelajar di luar negara, manakala pelajar yang baru menerima tajaan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pula, elaun induksi (Onboarding Allowance) akan dinaikkan daripada RM4,500 kepada RM5,000.

“Kenaikan kedua-dua elaun ini mengambil kira kos sara hidup yang semakin tinggi dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa seterusnya memudahkan proses pembelajaran pelajar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Tahun ini, nilai tajaan bagi PESP melebihi RM340 juta dengan menyaksikan bilangan tajaan pelajar tertinggi dicatatkan sepanjang pelaksanaan program berkenaan.

Beliau juga mengingatkan penerima PESP supaya tidak mensia-siakan peluang yang diberikan oleh PETRONAS dengan mencipta kecemerlangan dan kembali menyumbang kepada negara.

Jelasnya, kumpulan pelajar tahun ini merupakan kumpulan istimewa kerana mengikuti pembelajaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jika diimbas kembali ketika seluruh dunia termasuk Malaysia dilanda pandemik Covid-19, sistem pendidikan negara ternyata telah berubah dengan mengadaptasi teknologi melalui kelas secara dalam talian.

“Kaedah pembelajaran ini ternyata bukan mudah dan memerlukan tumpuan, motivasi dan disiplin yang tinggi serta sikap proaktif untuk belajar secara kendiri tetapi anda berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” ujar beliau.

Selain tajaan PESP, Ismail Sabri turut memaklumkan PETRONAS telah menyumbang lebih RM1 bilion untuk pelbagai program lain dalam bidang pendidikan negara.

“Ia termasuk membina dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bernilai lebih RM211 juta yang mampu menempatkan pelajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Selain itu, PETRONAS juga membina dua asrama harian luar bandar di kawasan pedalaman yang siap sepenuhnya pada 2019 bagi menyediakan akses pendidikan lebih baik kepada pelajar, malah lebih 78,000 pelajar B40 di seluruh negara menerima manfaat di bawah Program Kembali Ke Sekolah, Yayasan PETRONAS,” tambahnya.

Artikel berkaitan

Elaun pelajar tajaan MARA dinaikkan

Pelajar UPM terima tajaan pengajian daripada Menteri Besar Selangor

Syukur, hadiah kemerdekaan! PM umum elaun Pembantu Kemas, naik kepada RM800


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok