Malaysia- Iran bincang kerjasama sektor pendidikan
Malaysia dan Iran dalam rangka memperkukuh hubungan baik menerusi sektor pendidikan tinggi, demikian kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khalid berkata, antara perkara yang dibincangkan adalah termasuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan di bidang Sains.
Jelasnya, kerjasama itu memandangkan Iran mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.
Beliau berkata demikian selepas satu kunjungan hormat kepada Menteri Sains, Penyelidikan dan Teknologi republik berkenaan, Mohammad Ali Zolfigol di Iran.
Mohamed Khalid turut menyatakan bahawa usaha tersebut mendapat respons baik daripada Mohammad Ali.
“Mohammad Ali menyatakan hasratnya untuk meneroka lebih banyak ruang dan peluang kerjasama dengan Malaysia melalui sektor pendidikan tinggi.
“Malah, beliau turut memperakui betapa pentingnya untuk kita bergerak secara bersama, lebih-lebih lagi apabila keadaan dunia pada hari ini berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran yang getir,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Tambah beliau, hubungan erat yang terjalin antara negara itu akan terus kekal dan diperkukuh agar manfaatnya mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan.