Malaysia kongsi inisiatif pengajian tinggi pasca pandemik di persidangan antarabangsa ASAIHL
Malaysia kongsi inisiatif pengajian tinggi pasca pandemik di persidangan antarabangsa ASAIHL

Malaysia kongsi inisiatif pengajian tinggi pasca pandemik di persidangan antarabangsa ASAIHL

webadminwebadmin
10 Nov 2022 03:49pm

Sistem pembelajaran bagi pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) pasca pandemik Covid-19 telah berubah terutama membabitkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang selama ini menggunakan cara penyampaian konvensional.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, pandemik Covid-19 menggesa manusia untuk berubah dalam menjalankan kehidupan seharian termasuk proses bekerja dan belajar.

Katanya, kaedah pembelajaran juga tidak terkecuali terkesan dengan situasi ini.

Justeru, kaedah konvensional yang pernah dijalankan sekian lama sebelum kehadiran Covid-19 sudah ditambah baik dan perubahan itu penting kerana sekiranya tidak dilakukan sesebuah institusi atau negara akan ketinggalan dengan pihak lain.

“Dalam konteks ini, Malaysia memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk memperkasa pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL), pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dan pendidikan fleksibel kepada masyarakat, selain giat mempromosikan program Micro-crendentials yang diyakini mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Semua usaha yang dijalankan itu mengubah corak pengajian tinggi pasca pandemik dan masa akan datang bukan hanya di Malaysia, malah di peringkat global,” jelasnya ketika perkongsian bertajuk Landskap Pengajian Tinggi Malaysia – Inisiatif Ke Hadapan pada Persidangan Antarabangsa Association of Southeast Asian Institutions of Higher Learning (ASAIHL) 2022, di Sukhotai, Thailand, baru-baru ini.

Dengan bertemakan Pembentukan Semula Pendidikan Tinggi untuk Ketahanan dalam Era Pasca Covid-19, persidangan itu turut dihadiri Penasihat ASAIHL, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim; Presiden ASAIHL, Profesor Dr Yoshihisa Baba; Setiausaha Agung ASAIHL, Profesor Madya Dr Ninnat Olanvoravuth dan Pengerusi ASAIHL Thailand yang juga Presiden Universiti Chulalongkorn, Profesor Dr Bundit Eua-arporn.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Pengerusi ASAIHL Malaysia berkata, semua jenis penawaran pendidikan era baharu ini akan mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di Malaysia.

Kerana itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan MQA secara aktif mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia di luar negara dengan disokong oleh IPT tempatan untuk bersaing di persada nasional dan antarabangsa.

“Di peringkat ASAIHL Malaysia, kita kini dalam usaha menjadi pangkalan bagi konsortium program Micro-credentials terbesar dunia di bawah naungan ASAIHL Institute (AI).

“Penubuhan AI bertujuan membenarkan institusi di bawah ASAIHL menawarkan program Micro-credentials dengan mendaftarkan semua program kursus pendek berkenaan di bawah kendalian AI,” ujar Mohammad Shatar.

Artikel berkaitan 

MQA rai graduan sulung COQAHE

5 kumpulan penyelidik universiti terima GPPT MQA

MQA jalin kerjasama dengan 8 IPT tempatan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp