Marvin Schaepper juara lumba dron DRA 2023
Malaysia kuasai kategori Rookie, tempat kelima kategori Captain
Kehebatan Marvin Schaepper (Marv_FPV) mengendalikan dron FPV (First Person View) dengan aksi memukau melayakkannya bergelar juara Drone Race Asia (DRA) 2023.
Pelumba yang berasal dari Liechtenstein itu membawa pulang wang tunai RM8,425.
Perlumbaan dron trek vertikal tertutup pertama dunia berakhir pada 2 Disember lalu, setelah berlangsung selama tiga hari menawarkan wang tunai terkumpul sebanyak RM23,400 (AS$5,000).
Perlumbaan yang berlangsung di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur membabitkan seramai 30 juruterbang kompeten dari Korea, Amerika Syarikat, Sepanyol, Thailand, Singapura dan Malaysia.
Para pelumba lain ialah Minjae Kim (Minjae) dari Korea dan Worawit Subsri (Pepper FPV), Thailand yang muncul sebagai pemenang tempat kedua dan ketiga memenangi wang terkumpul masing-masing, RM3,925 dan RM2,925.
Pemenang keempat dan kelima pula Christian Van Sloun (Amari), Amerika Syarikat dan Wan Ediyuzlan Wan Hussin (Vyn FPV), Malaysia.
Acara bersejarah ini dianjurkan bersama oleh Magic Beans Alchemy Sdn Bhd dan DRA Drone Racing Club serta diterajui oleh Drone Race Asia, persatuan perlumbaan dron FPV yang berpusat di Kuala Lumpur.
Lebih menarik, perasmian perlumbaan berprestij itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Selain perlumbaan kategori DRA Captain, terdapat juga kategori Rookie. Para pelumba Malaysia menyapu bersih tempat pertama sehingga kelima dalam kategori itu.
Lim Sheng Xiong (LX) muncul juara kategori Rookie dan membawa pulang wang tunai RM680. Manakala, Jaysuman Pusppanathan (Dr Jay) dan Ahmed Feizal Sulaiman Khan (Obot)merupakan naib juara dan tempat ketiga. Masing-masing membawa pulang RM480 dan RM380.
Malaysia lokasi ideal lumba drone
Pengarah Magic Beans Alchemy Sdn Bhd, YY Choy berkata, penyertaan seluruh dunia dalam DRA 2023 itu adalah petanda positif bahawa perlumbaan dron akan mengukuhkan status Malaysia sebagai lokasi ideal pada masa akan datang.
"Kami juga sangat berbesar hati dengan sokongan kerajaan terutama Kementerian Belia dan Sukan kerana memperuntukkan geran padanan berjumlah RM72,000 untuk penganjuran perlumbaan dron trek vertikal tertutup. Untuk rekod, perlumbaan seumpama ini adalah pertama di dunia,” katanya di sini.
Sementara itu, Presiden DRA Drone Racing Club, Johnson berkata, matlamat penganjuran itu untuk menjadikan sukan perlumbaan dron sebagai sukan profesional di Malaysia.
"Perlumbaan DRA 2023 adalah lebih daripada satu perlumbaan sekali gus berfungsi sebagai pemangkin kepada pelumba dron pakar untuk menjadi mentor dan model yang berperanan, memberi inspirasi kepada pelumba dron baharu untuk melonjak ke tahap yang hebat," katanya.
Selain itu, komuniti Malaysia, Rakan Muda, MSAF dan semua penaja yang mengambil bahagian membawa impak dan kejayaan besar.
Terdahulu, Hannah berkata, peruntukan geran padanan itu bagi membantu pasukan negara menaikkan ranking pasukan.
"Sukan seumpama itu akan menjadi platform generasi muda meluangkan masa dengan aktiviti bermanfaat berbanding melakukan perkara yang sia-sia.
"Mengikut Indeks Kesediaan Dron (DRI) 2023, industri dron Malaysia menduduki tempat pertama di Asia Tenggara.
"Malaysia telah menggunakan dron untuk meningkatkan produktiviti dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, kartografi, dan lain-lain.
"Di samping pelaksanaan praktikal ini, perlumbaan dron berkelajuan tinggi telah mendapat pujian antarabangsa, dan mengalami lonjakan populariti yang konsisten pada skala global,” kata Hannah.