AB RAUF
AB RAUF

Melaka peruntuk RM700,000 laksana Inisiatif Bijak SPM

05 Jun 2025 04:35pm

Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM700,000 bagi melaksanakan Program Kecemerlangan Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi Inisiatif Bijak SPM di bawah Bajet 2025 Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan inisiatif itu melibatkan sejumlah 95 sekolah menengah dan memberi manfaat kepada 12,757 calon SPM di seluruh negeri.

"Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk menyokong usaha pihak sekolah melaksanakan pelbagai program kecemerlangan termasuk bengkel teknik menjawab, bengkel pecutan akhir serta penyediaan bahan pembelajaran SPM bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan bersedia.

"Selain itu, kita juga akan menganjurkan bengkel berteknologi tinggi bagi memastikan anak-anak bersedia menghadapi era teknologi masa kini," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM Bijak Sejarah A+ 2024 dan Majlis Pelancaran Bijak SPM 2025 Melaka yang turut dihadiri Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pada tahun ini, di bawah Inisiatif Bijak Sejarah dan Cemerlang SPM, kerajaan negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Melaka (Tapem) menyalurkan peruntukan sebanyak RM381,100.

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, pelajar yang memperoleh semua A+ akan menerima insentif sebanyak RM1,000 dan pelajar mendapat semua A menerima RM500, manakala pelajar memperoleh A+ dalam subjek Sejarah pula menerima RM200.

"Pada tahun ini juga, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200,000 bagi pelaksanaan Program Tuisyen Percuma untuk pelajar SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) khususnya golongan B40," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha itu juga sejajar dengan matlamat kerajaan negeri memastikan tiada pelajar tercicir atau tidak berjaya dalam SPM terutama pelajar daripada keluarga B40.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri kini sedang mengorak langkah menjadikan Melaka sebagai Pusat TVET Negara bagi membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Melaka menguasai bidang kemahiran berteknologi tinggi yang selari dengan keperluan industri semasa.

"Melaka kini memiliki 61 institusi TVET yang menawarkan pelbagai kursus kemahiran dan kepercayaan negara luar terhadap potensi anak tempatan turut terserlah apabila kerajaan China baru-baru ini menawarkan 15 biasiswa TVET kepada Malaysia dan lima daripadanya untuk anak Melaka.

"Ini secara tidak langsung membuktikan Melaka kini mendahului negeri-negeri lain dalam pembangunan TVET sehingga meyakinkan negara luar untuk memberi keutamaan kepada anak watan kita," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp