
Sekolah agama Melaka cipta sejarah: 10 sekolah raih keputusan SPM 100 peratus
Sekolah aliran agama di Melaka terus membuktikan keupayaannya apabila mencatatkan pencapaian luar biasa dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada Khamis.
Daripada 18 sekolah di seluruh negeri yang mencatatkan keputusan 100 peratus kelayakan menerima sijil, 10 daripadanya merupakan sekolah aliran agama termasuk dari kawasan luar bandar di ketiga-tiga daerah utama negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti sekolah agama kini setanding, malah mampu mengatasi sekolah lain dalam aspek akademik.
“Kejayaan ini sekali gus menolak persepsi bahawa sekolah agama ketinggalan dalam bidang akademik. Sebaliknya, mereka kini muncul sebagai pesaing utama, termasuk dari kawasan luar bandar seperti di daerah Jasin,” ujarnya.
Antara sekolah aliran agama yang mencuri tumpuan dengan keputusan cemerlang termasuk SMKA Sharifah Rodziah, SMKA Sultan Muhammad, SMA JAIM Al-Ahmadi, SMA JAIM Al-Asyraf dan Sekolah Menengah Agama Al-Ehya Al-Karim.
Terbaik sejak tahun 2013
Keputusan SPM 2024 turut menyaksikan Gred Purata Negeri (GPN) Melaka menurun kepada 4.43 berbanding 4.59 pada tahun sebelumnya, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.16 mata sekali gus menjadikannya pencapaian terbaik negeri sejak tahun 2013.
Seramai 13,311 calon menduduki peperiksaan SPM di Melaka yang berlangsung dari 2 Disember 2024 hingga 6 Februari 2025.
Turut hadir dalam sidang akhbar pengumuman keputusan SPM Melaka ialah Timbalan Exco Pendidikan, Datuk Rosli Abdullah dan Pengarah Pendidikan Negeri, Mahfudzah Mohamed Noor.
Dengan kejayaan ini, sekolah agama tidak hanya memperkukuh kedudukan dalam sistem pendidikan arus perdana tetapi turut membuktikan bahawa gabungan kurikulum akademik dan nilai-nilai agama mampu melahirkan pelajar seimbang dan berdaya saing tinggi.
Sinar Bestari mengucapkan tahniah kepada semua warga pendidik dan pelajar atas kejayaan membanggakan ini. Semoga menjadi inspirasi buat sekolah-sekolah lain di seluruh negara!