
Menteri Pendidikan umum 6 berita gembira untuk guru!
Sambutan Hari Guru ke-54 tahun ini bukan sekadar acara penuh penghargaan tetapi ia hadir bersama khabar paling menggembirakan buat seluruh warga pendidik.
Dalam suasana penuh gemilang sempena sambutan berkenaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah mengumumkan enam inisiatif penting sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan guru-guru di seluruh negara.
Enam inisiatif itu merangkumi pelbagai bentuk insentif yang dirangka khusus bagi menghargai warga pendidik dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.
Ia terdiri daripada:
1) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuka permohonan pertukaran guru selepas seseorang guru itu berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat.
2) Seramai 1,470 orang personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun 2025 di mana sekolah yang terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua pembantu guru.
3) 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan bakal melalui pengalaman di sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).
4) KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti Program Kursus Jangka Pendek di luar negara menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih.
5) Diskaun 20 peratus bagi pembelian tiket kapal terbang kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM.
6) Diskaun buku antara 20 peratus hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM.