Sambutan Hari Guru tetap meriah di SJKC Chong San walau hanya 41 murid

SAIFULLAH AHMADSAIFULLAH AHMAD
16 May 2025 05:00pm

Meskipun hanya mempunyai 41 orang murid, sambutan Hari Guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong San, Kampung Sungai Burung di Perak, tetap berlangsung meriah dan penuh makna.

Bertemakan semangat kekeluargaan antara warga sekolah, sambutan yang diadakan pagi tadi, dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti santai antaranya pertandingan bola keranjang yang melibatkan penyertaan guru, murid dan kakitangan sokongan.

Guru Besar sekolah, Tham Siew Pei turut sama menyertai permainan itu bersama 11 orang guru dan tiga kakitangan sokongan, sekali gus menceriakan suasana sambutan yang diraikan serentak di seluruh negara.

Menurut Siew Pei, walaupun bilangan murid di sekolah itu kecil, ia bukan halangan untuk menyemarakkan sambutan Hari Guru demi menghargai jasa pendidik.

“Kami mengutamakan keterlibatan semua warga sekolah agar setiap sambutan yang dianjurkan membawa makna kepada semua, terutama murid-murid yang menjadi penyeri kepada sekolah ini,” katanya.

Selepas aktiviti riadah selesai, majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para guru sebagai tanda penghargaan, diikuti dengan bacaan perutusan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan dan ucapan ringkas daripada Guru Besar.

Sambutan ditutup dengan penuh patriotik menerusi nyanyian lagu Kami Guru Malaysia dan lagu Hari Guru, menggambarkan semangat dan dedikasi warga pendidik dalam mendidik generasi muda negara.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp