Untitled (13)
Untitled (13)

Michael Yam Kong Choy dilantik sebagai Canselor UOW Malaysia KDU

Nor Azma  Muhamat Laila
14 Sep 2021 05:26pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakar industri yang juga veteran dalam dunia korporat, Datuk Seri Michael Yam Kong Choy dilantik sebagai Canselor UOW Malaysia KDU.

Pelantikan itu diumumkan Pengerusi Lembaga Gabungan UOWM Sdn Bhd - Paramount Corporation Sdn Bhd, Noel Cornish AM yang menyatakan bahawa pencarian canselor telah berakhir dengan pemilihan seorang pemimpin industri yang terkenal dan berkarisma seterusnya akan meningkatkan kedudukan serta reputasi UOW Malaysia KDU.

Sebagai canselor, Kong Choy akan mempengerusikan majlis penganugerahan akademik yang diberikan oleh UOW Malaysia KDU iaitu penyedia pendidikan tinggi yang merupakan sebahagian daripada rangkaian global University of Wollongong Australia dan memainkan peranan sebagai duta besar bagi institusi ini.

Kong Choy memiliki pengalaman kerjaya selama 36 tahun membabitkan sektor pembinaan, hartanah dan kewangan korporat di Malaysia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Australia serta pernah menerima Anugerah 'CEO Terbaik Tahun Ini' daripada American Express Corporate Services and Business Times pada tahun 2002.

Selain itu, beliau turut memimpin beberapa syarikat di negara ini seperti Landmarks Bhd, Peremba Malaysia, Country Heights Holdings Bhd dan Sunrise Bhd.

Kong Choy kini menganggotai banyak syarikat termasuk Pengerusi InvestKL Corp, sebuah agensi promosi pelaburan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, KL Airport Hotel Sdn Bhd dan beberapa entiti perniagaan besar lain.

Beliau juga mencatatkan sumbangan membanggakan dalam bidang filantropi, badan bukan kerajaan (NGO) dan akademik termasuklah berperanan sebagai Penaung Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Pemegang Amanah Institut REHDA dan Pemegang Amanah Yayasan Standard Chartered.

Dalam bidang pendidikan pula, Kong Choy pernah berkhidmat sebagai Profesor Adjung, pensyarah tamu, moderator, dan penceramah di universiti, persidangan serta webinar.

Kong Choy adalah lulusan dalam bidang Pengajian Pengurusan dan Bangunan pada tahun 1979 dari University of Westminster, United Kingdom (UK) dan merupakan alumni Maktab Tentera Diraja (MTD).

Beliau juga mempunyai kelayakan profesional sebagai Felo Institut Bangunan Berkanun dan Felo Institut Juruukur Berkanun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOW Malaysia KDU merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UOWGE Asia, Jennifer Ng, berkata pihaknya yakin canselor yang baru dilantik itu akan memainkan peranan dalam memperjuangkan visi universiti untuk menjadi penyedia pendidikan terkemuka yang memberikan pengalaman transformatif kepada pelajar di Malaysia dan rantau ini.

"Misi kami ialah untuk bekerjasama dengan komuniti tempatan dan global dalam usaha menyediakan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan berkualiti selain memupuk pemimpin global yang mempunyai buah fikiran bertaraf antarabangsa," ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok