MILO x FAM Partnership - Photo
MILO x FAM Partnership - Photo

Milo dan FAM lancar kerjasama, sasar lahir 5,000 jurulatih dan 100,000 bakat muda menjelang 2026

Mohd Khairi Mohamad Yusri
14 Dec 2021 05:29pm
A
A
A

SHAH ALAM - MILO dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan kerjasama lima tahun bagi melahirkan generasi pelapis bintang bola sepak menerusi ekosistem pembangunan bola sepak akar umbi bersepadu.

Menurut Milo, kerjasama ini memberi fokus terhadap latihan kemahiran bola sepak peringkat akar umbi, menyelaraskan serta mengembangkan platform sedia ada masing-masing untuk manfaat jurulatih dan pemain muda.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, merakamkan penghargaan atas kerjasama berterusan MILO dan menyifatkan hubungan antara kedua-dua pihak ini tidak boleh lagi dipisahkan demi kemajuan bola sepak tempatan.

“MILO telah sekian lama menjadi rakan kerjasama bola sepak Malaysia, malah MILO mengorak langkah ke era baharu hari ini menuju masa hadapan, seperti mana yang dilakukan pada tahun 1990-an dahulu, dengan menyediakan dorongan dan platform kepada golongan muda untuk menonjolkan serta mengasah bakat mereka,” ujarnya.

Menurutnya lagi, usaha pembangunan bola sepak akar umbi sangat kritikal demi masa hadapan bola sepak tanah air.

BACA JUGA: 13 pelajar dan guru terima Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2019

BACA JUGA: Sertai MILO® All Star Challenge! Berpeluang untuk berlatih bersama FAM

“Kami ingin merintis masa hadapan untuk anak-anak muda hari ini kerana kami percaya merekalah bintang-bintang masa hadapan. Namun, kejayaan masa hadapan turut bergantung kepada jurulatih yang akan membimbing anak-anak kita ini untuk mencapai potensi terbaik mereka.

“Justeru, kerjasama kami dengan MILO akan memastikan latihan untuk membangunkan kedua-dua pemain muda dan jurulatih ini bergerak seiring dengan pembentukan ekosistem yang holistik ini,” tambahnya

Pegawai Eksekutif Perniagaan - Unit Perniagaan MILO®, Nestlé (Malaysia) Berhad, Ng Su Yen berkata, bola sepak menyerlahkan peranan sukan sebagai guru terbaik yang memupuk kesungguhan, keberanian dan kecekalan yang bukan sahaja dapat memperkasakan daya saing sewaktu bertanding malah membentuk keperibadian individu untuk berjaya dalam hidup.

“Dengan mengalu-alukan FAM kembali ke dalam kerjasama ini, kami meletakkan harapan yang lebih tinggi untuk menginspirasikan yang terbaik dalam generasi juara akan datang, di samping bekerjasama untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat-bakat baharu dalam persada bola sepak negara,” katanya.

Ketika ini, terdapat 122 akademi dengan 10,000 pemain muda berdaftar di bawah Piagam Suparimau di seluruh negara. Kerjasama MILO® x FAM berusaha mengembangkan lagi Piagam Suparimau kepada ekosistem yang terdiri daripada 800 akademi dengan 100,000 pemain muda dalam tempoh lima tahun akan datang di samping meningkatkan jumlah jurulatih daripada 1,000 kepada 5,000 jurulatih menjelang 2026.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok