Timbalan Pengarah Sektor Dasar Dan Penyelidikan Kurikulum, Dr Azwan Abd Aziz (dua dari kanan) bersama Nor'aidah (dua dari kiri) menunjukkan MOBIM Tahun Satu yang memanfaatkan guru dalam merancang PdP. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Timbalan Pengarah Sektor Dasar Dan Penyelidikan Kurikulum, Dr Azwan Abd Aziz (dua dari kanan) bersama Nor'aidah (dua dari kiri) menunjukkan MOBIM Tahun Satu yang memanfaatkan guru dalam merancang PdP. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

MOBIM memanfaatkan lebih 31,000 guru

07 Nov 2023 10:52am

Modul Bimbingan (MOBIM) yang diperkenalkan pada Mac lalu telah memanfaatkan lebih 31,000 guru mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Inggeris Tahun Satu di seluruh negara.

Timbalan Pengarah Sektor Sains dan Matematik Bahagian Pembangunan Kurikurulum (BPK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Nor’aidah Nordin berkata, MOBIM telah membantu memudahkan guru merancang Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dengan panduan serta pelbagai strategi yang menyeronokkan.

“Dengan bantuan MOBIM, seorang guru bukan opsyen menyatakan beliau boleh mengajar mata pelajaran tersebut dengan baik. Ini adalah antara maklum balas yang diterima kami,” katanya pada Isnin.

Menurut Nor’aidah, MOBIM yang diperkenalkan itu merupakan pendekatan jangka pendek dilaksanakan oleh KPM susulan rungutan ibu bapa serta guru mengenai kandungan mata pelajaran.

Nor’aidah
Nor’aidah

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19 melanda negara sebelum ini telah memperlihatkan beberapa kekangan yang dihadapi para guru, pelajar dan ibu bapa bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Apabila ibu bapa ikuti sesi PdPR bersama anak, kita terima maklum balas bahawa kandungan subjek itu ‘berat’ dan susah untuk diikuti,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, MOBIM dihasilkan dengan libat urus pakar akademik dan pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) agar guru dapat memantapkan pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017).

“MOBIM ini turut membantu para guru memahami kurikulum serta menterjemah Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berkata, MOBIM dilaksanakan secara berperingkat dengan melibatkan guru Tahun Satu bagi mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) serta di Sekolah Kebangsaan Jenis Cina dan Tamil (SKJC, SKJT).

“Selepas kira-kira 18 minggu bertungkus-lumus sejak November 2022, modul ini mula disebarkan kepada guru pada Mac lalu,” kata beliau.

Perluasan MOBIM

Pasukan BPK ketika ini katanya, sedang dalam proses menyediakan MOBIM untuk guru Tahun Dua dan Tiga yang dijangka siap pada Mac 2024.

Nor’aidah berkata, modul tersebut akan memberi penekanan dan strategi menggunakan bahan maujud, bergambar dan abstrak (CPA), integrasi standard pembelajaran (SP) serta strategi belajar melalui bermain.

“Ia disusun berdasarkan DSKP dan disertakan halaman buku teks serta buku aktiviti.

“Sebenarnya dengan MOBIM, guru-guru dapat ‘berkarya’ dengan mencipta idea serta kaedah pengajaran yang lebih berkesan mengikut kesesuaian pelajar mereka,” katanya dan menambah, terdapat cadangan aktiviti, nota guru dan lembaran kerja sebagai panduan yang memudahkan golongan guru.

Pada masa sama, MOBIM turut mengetengahkan ‘didik hibur’ iaitu pendekatan pembelajaran secara hands-on, permainan, nyanyian di samping pendekatan ansur maju iaitu mudah kepada sukar, konkrit kepada abstrak, kontekstual serta konstruktif turut digunakan.

Pautan infografik dan video katanya, turut disediakan bagi memudahkan para guru menerusi MOBIM.

Modul ini bertujuan untuk membantu guru merancang pengajaran dan pembelajaran dengan pelbagai strategi yang menyeronokkan.
Modul ini bertujuan untuk membantu guru merancang pengajaran dan pembelajaran dengan pelbagai strategi yang menyeronokkan.

“Sebaran MOBIM ini dibuat menerusi dua peringkat iaitu bermula kepada jurulatih daerah (JUD) mengikut struktur pendidikan.

“Kemudiannya, jurulatih peningkatan sekolah (SISC) akan menjemput guru mata pelajaran berkongsi mengenai manfaat MOBIM,” katanya yang turut menafikan modul itu akan menambah bebanan para guru.

Dalam pada itu, Nor’aidah menyarankan supaya para guru mengambil peluang menggunakan MOBIM yang amat membantu dalam PdP.

“Kita perlu faham dengan perubahan zaman cara dan kaedah lama tidak boleh lagi digunakan kepada murid pada masa ini, jadi MOBIM ini sangat membantu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pencapaian guru dan murid hasil daripada penggunaan MOBIM, Nor’aidah berkata, data tersebut akan diperoleh tahun hadapan.

“Kami masih belum dapat data lengkap tetapi ramai guru yang menggunakan MOBIM telah memberikan maklum balas yang positif,” katanya sambil menambah bahan dalam MOBIM akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Selain dibekalkan secara buku, katanya, MOBIM turut dimuat naik ke laman sesawang BKP bagi memudahkan guru untuk memuat turun lembaran kerja, sekali gus menjimatkan masa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp