Fadhlina
Fadhlina

DLP: Pastikan kriteria dipenuhi termasuk penguasaan Bahasa Melayu

ROSHLAWATY MD RAIEH
21 Dec 2023 05:19pm
A
A
A

Program Dwibahasa atau Dual Language Programme (DLP) yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sering kali menjadi polemik dalam kalangan masyarakat hari ini.

Ia kerana, ada sesetengah daripada kita melihat pelaksanaan DLP itu dari kaca mata negatif sehingga ada yang meminta diukur impak keberkesanannya sejak pelaksanaan program yang memasuki tahun kelapan itu.

Terbaharu, KPM menerusi kenyataan media pada Khamis memaklumkan, sekolah yang bersetuju melaksanakan DLP, wajib memastikan semua kriteria dipenuhi termasuk penguasaan Bahasa Melayu.

Pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas Bahasa Melayu dan bahasa ibunda.

"Saya ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan DLP yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

"Berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP KPM Tahun 2021 bertarikh 26 November 2020, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid-murid yang lain mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.

"Saya menegaskan iltizam KPM untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan Bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan Bahasa Inggeris," katanya dalam hantaran itu.

Artikel Berkaitan:

Fadhlina berkata, pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih daripada satu kelas DLP kepada murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN.

“Kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah dan kami mengambil pendekatan manusiawi, iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP.

"Bagaimanapun, sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu sesi 2024/2025,” ujar beliau.

Seterusnya, tambah Fadhlina, pihak JPN bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima (acceptor) bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.

Malah katanya, KPM akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan.

"KPM terbuka kepada cadangan dan keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pemegang taruh,” tutur Menteri Pendidikan ini lagi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok