Modul rujukan IPT untuk komunikasi risiko, komunikasi krisis dilancarkan

webadmin
01 Oct 2021 06:57pm
A
A
A

PUTRAJAYA - Modul Komunikasi Risiko dan Komunikasi Krisis Bagi IPT akan menjadi rujukan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk pengurusan komunikasi dan krisis berkesan pada masa hadapan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata, modul yang dibangunkan berdasarkan dapatan kajian di bawah geran penyelidikan bagi Komunikasi Risiko Untuk Kesihatan Awam, akan membantu pihak IPT untuk bersiap siaga menguruskan risiko melalui kepimpinan proaktif dan perancangan strategik selain mengamalkan komunikasi berkesan.

"Walau apa jua situasi atau krisis yang melanda, pengurusan komunikasi risiko dan komunikasi krisis perlu sentiasa dipraktikkan secara berkesan," katanya ketika melancarkan modul berkenaan secara maya, semalam.

Mengimbau keadaan apabila negara dilanda pandemik Covid-19 hingga meletakkan IPT dalam suasana "tidak tentu, tidak pasti, rumit dan kekaburan", Noraini berkata, krisis itu membantu mempercepatkan usaha IPT dalam meningkatkan kemahiran komunikasi risiko dan krisis bagi memastikan kelestarian institusi.

Noraini berkata, Modul Komunikasi Risiko dan Komunikasi Krisis Bagi IPT wajar dimanfaatkan terutamanya menjelang kemasukan pelajar ke kampus secara berperingkat mulai 15 Oktober ini.

Pembangunan modul itu dibiayai Malaysia One Health University Network (MyOHUN) Covid-19 Supplementary Fund dan disokong Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) One Health Workforce Next Generation (OHW-NG).

Projek itu melibatkan pelbagai pihak dalam proses pengumpulan maklumat kajian termasuk universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta, politeknik dan kolej komuniti, katanya.

Ia turut dihasilkan berpandukan buku “Risk and Crisis Communication for Public Health and Institutional Resilience: Insights from Higher Learning Institutions” dan akan diterbitkan Penerbit Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi tidak lama lagi. - BERNAMA

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok