math
math

Mohd Radzi mahu jumpa Cikgu Mohd Fadli

Norliza Wasilan
16 Oct 2022 02:09pm
A
A
A

Sejak malam tadi, heboh rakyat di negara ini terutama warga pendidik dan juga ibu bapa yang memberi respons mengenai dakwaan Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh bakal berdepan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

Sebelum itu, Cikgu Mohd Fadli yang mempunyai keseluruhan pengikut lebih 700, 000 di dua akaun Facebook miliknya iaitu Cikgu Fadli dan Fadli Mohd Salleh berkongsi tangkap layar surat diterima daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai tindakan tatatertib ke atasnya.

Berdasarkan surat bertarikh 22 September lalu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) (1) Gombak, Gombak, Kuala Lumpur, berkenaan dinyatakan dengan tiga pertuduhan yang membawa kepada tindakan itu.

Pertuduhan pertama, Cikgu Mohd Fadli didapati telah menggunakan saluran Facebook untuk memuat naik hantaran mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar sekolah rendah.

Pertuduhan kedua, menggunakan platform media sosial, Facebook mengkritik subjek yang diajar pada murid Tahun Satu.

Pertuduhan ketiga, guru berkenaan menggunakan Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak.

Cikgu Mohd Fadli berkongsi surat yang diterimanya.

Menurut Cikgu Mohd Fadli, beliau sebelum ini sudah membuat aduan mengenai isu dibangkitkan menerusi saluran yang betul, namun tidak memberi kesan.

“Jangan sembang saluran yang betul dengan saya, sebab saya dah luahkan dalam saluran yang paling betul, masa penataran buku silibus baru di PPD (Pejabat Pendidikan Daerah), di hadapan lebih 30 orang guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai JPN (Jabatan Pendidikan Negeri).

“Sehingga mereka tak mampu berhujah dan menjawab persoalan saya, mereka bawa pegawai BPK (Bahagian Pembangunan Kurikulum) dari Putrajaya.

“Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya, dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan,”ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa pandangannya adalah berdasarkan apa yang berlaku terhadap murid sekolah.

Berikutan itu, Cikgu Mohd Fadli mempersoalkan mengapa tindakan tatatertib dikenakan terhadapnya sedangkan beliau berkata benar mengenai isu yang dibawanya.

“Saya berkata jujur tentang apa sampai nak kena buang kerja tu? Saya bercakap tentang beg berat bahaya pada anak-anak kita, silibus tinggi dan padat, silibus syok sendiri, bilangan murid yang ramai dalam kelas.

“Subjek yang banyak murid belajar, masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi, adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak… Itu yang saya tulis.

“Kata mereka, Cikgu perlu guna saluran yang betul. Bukan kat Fb,”tambahnya lagi.

Mohd Radzi.

Perkongsian guru itu kemudiannya mendapat reaksi daripada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Mohd Radzi menerusi hantarannya di Facebook mengajak Cikgu Mohd Fadli untuk bertemu dengannya bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkara itu.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh.

“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,”ujarnya seperti disiarkan menerusi laman sosialnya, malam tadi.

Cikgu Mohd Fadli berkongsi silibus Matematik Tahun Satu.

Cikgu Mohd menerusi hantaran di laman sosialnya kemudian memaklumkan Mohd Radzi ada tag namanya untuk berbincang mengenai isu itu.

Selain itu, Cikgu Mohd Fadli juga memaklumkan bahawa buat masa ini beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan kepada pihak media tanpa kelulusan KPM.

“Ramai wartawan dan rakan-rakan media cuba hubungi saya untuk temu bual, maaf rakan-rakan media sekalian.

“Saya masih penjawat awam. Saya tak boleh bersiaran atau mengeluarkan kenyataan kepada pihak media tanpa kelulusan KPM,”ujarnya.

Sehingga saat ini, Sinar Bestari sedang dalam usaha untuk mendapatkan reaksi daripada pelbagai pihak bagi mengulas isu dihadapi guru berkenaan.

Artikel berkaitan

Cikgu Fadli disayangi ramai murid

‘Mengajar perlu ada kesabaran tinggi’ – Ini pesanan yang sering Cikgu Mohd Fadli ulang untuk kaum ibu

Pasangan kembar teruja lanjut pengajian bersama di UMK


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok