Mohon biasiswa penuh sebelum 31 Mac ini, peluang dapat 4 elaun sekaligus
KUALA LUMPUR - Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) mengumumkan tawaran Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) bagi pelajar ijazah sarjana muda akan dibuka sehingga 31 Mac ini.
Pendaftaran mestilah dibuat secara dalam talian di pautan www.yayasantar.org.my.
Melalui hantaran di Facebook rasmi YTAR, BTAR dilaksanakan bertujuan membantu pelajar yang layak agar mereka dapat melanjutkan pengajian tinggi di institusi tempatan, sama ada awam ataupun swasta.
Baca juga
Enam pelajar terima Anugerah Kecemerlangan Biasiswa daripada MCKL
Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2022 dibuka hari ini
“Oleh kerana BTAR menekankan kecemerlangan yang holistik, penerima-penerima biasiswa yang dipanggil Tunku Scholars ini akan melalui program kepimpinan yang berlangsung selama dua tahun.
“Hasilnya mereka akan dilengkapi dengan kemahiran, cara pemikiran dan nilai-nilai yang dapat menyumbang kepada pembangunan Malaysia yang adil dan bersatu padu,” katanya.
Difahamkan, program tersebut menawarkan peluang kepada penerima biasiswa menguruskan projek kemasyarakatan di bawah bimbingan YTAR, ‘mentorship’ daripada alumni tentang kerjaya dan perkembangan diri dan pembangunan skil kepimpinan, interpersonal serta pemikiran kritikal.
Selain itu, bentuk kewangan yang disumbangkan adalah yuran universiti yang ditaja penuh sepanjang tempoh pengajian dan pemberian elaun sara secara bulanan.
Bagi menampung perbelanjaan seperti pembelian komputer riba, kos tesis, pakaian rasmi ataupun tiket penerbangan (antara Semenanjung dan Timur Malaysia), elaun sekali sepanjang biasiswa juga diberikan kepada mereka.
Subsidi alat tulis, buku teks beserta elaun pengembangan profesional bagi peningkatan diri setiap penerima biasiswa turut diberikan secara tahunan.
Dana tersebut juga boleh digunakan untuk menguruskan dan menjalankan projek kemasyarakatan di bawah bimbingan YTAR.
Kriteria kelayakan pemohon mestilah warganegara Malaysia dan tergolong dalam mana-mana kategori berikut;
“Pelajar ijazah sarjana muda di universiti tempatan awam atau swasta yang mempunyai baki tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.
“Penerima surat tawaran yang akan melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di universiti tempatan awam atau swasta bermula tahun 2022.
“Pelajar yang sedang memohon kemasukan program ijazah sarjana muda di universiti tempatan awam atau swasta pada tahun 2022,” tulis kenyataan itu.
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok
Bagi calon yang membuat permohonan, mereka akan menerima balasan daripada urus setia pada hujung bulan Jun 2022 menerusi e-mel.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi YTAR terus di talian 03-22836063 atau e-mel contactus@yayasantar.org.my .