pexels-daniel-reche-3601097
pexels-daniel-reche-3601097

MPPK desak semua IPT beri perhatian kepada kesihatan mental pelajar

Nor Azma  Muhamat Laila
12 Jul 2021 06:54pm
A
A
A

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) memohon kepada semua IPT di negara ini untuk memberi perhatian serius terhadap kesihatan mental pelajar terutama bagi mereka yang terjejas kerana pandemik Covid-19.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata MPPK mengambil maklum tentang kebimbangan pelajar terhadap kesihatan mental mereka ketika tempoh pandemik ini dan mahu ia menjadi perkara yang wajib dititikberatkan oleh semua pihak terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan IPT itu sendiri.

Menurut beliau, ketika MPPK mengadakan pertemuan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, pihaknya telah membentangkan tujuh cadangan kepada KPT dan salah satu cadangan tersebut adalah berkenaan kesihatan mental para pelajar.

"Sudah lebih setahun para pelajar menghadapi tekanan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian, justeru itu MPPK merasakan kaedah pengajaran ketika ini perlu dikaji semula pelaksanaannya.

"Sekiranya pengajian semester depan masih perlu dijalankan secara dalam talian, kami memohon agar KPT dapat mengeluarkan arahan kepada semua IPT supaya dipanjangkan tempoh pembelajaran dari 14 minggu kepada 15 atau 16 minggu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Selain itu, MPPK juga berharap agar semua IPT yang memberi tempoh bertenang dapat memastikan tempoh tersebut benar-benar merupakan tempoh bertenang dan perlu memastikan tiada pensyarah yang masih meminta pelajarnya menghantar tugasan atau mengadakan peperiksaan dalam tempoh itu.

Muhammad Amir Asyraf berkata, MPPK mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah dan Pahang yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

"MPPK juga berharap agar semua rakan-rakan mahasiswa terus menjaga kesihatan fizikal dan mental masing-masing dan percaya kita semua mampu menangani perkara ini," ujar beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok