HomeBuletinMPPK hargai inisiatif KPT laksana Program Vaksinasi Pelajar IPT

Artikel Berkaitan

MPPK hargai inisiatif KPT laksana Program Vaksinasi Pelajar IPT

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menzahirkan setinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad atas pelaksanaan Program Vaksinasi Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata di bawah program ini, pelajar IPT yang masih belum divaksin boleh mendapatkannya secara “walk-in” di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbuka.

Menurut beliau, pelajar IPT hanya perlu membawa kad pengenalan dan kad matrik bagi tujuan pengesahan di PPV tersebut manakala bagi pelajar baharu pula, mereka boleh mengemukakan surat tawaran kemasukan dan kad pengenalan untuk mendapatkan vaksin.

“Pengenalan inisiatif ini akan membolehkan proses vaksinasi pelajar-pelajar IPT dipercepatkan bagi membentuk gelembung kampus yang selamat dan mencapai imuniti kelompok.

“Pelaksanaan program ini juga adalah selaras dengan cadangan keempat daripada tujuh cadangan MPPK yang telah dibawa kepada pihak KPT sebelum ini iaitu pemberian vaksin kepada mahasiswa,” kata beliau.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri.

Ujar Muhammad Amir Asyraf lagi, pelaksanaan program ini juga menunjukkan bahawa pihak KPT terus prihatin dalam mendengar pandangan dan luahan daripada mahasiswa.

“MPPK berharap agar pihak KPT akan terus memperkenalkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada mahasiswa dan dapat memperhalusi kaedah terbaik terutamanya dalam memastikan kepulangan pelajar ke kampus dapat dilakukan dengan teratur.

“Kami juga berharap semua mahasiswa yang masih belum mendapat temu janji vaksinasi untuk terus ke PPV berkenaan untuk mendapatkan vaksin. Peranan mahasiswa juga penting dalam memastikan setiap kampus di IPT seluruh negara menjadi sebuah kampus yang selamat,” jelas beliau.

Artikel Terkini