Untitled(1)
Untitled(1)

MQA-EMGS tarik minat pelajar Amerika Selatan ke Malaysia

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Jan 2022 05:18pm
A
A
A

CYBERJAYA - Menyedari potensi besar pasaran pendidikan tinggi di Amerika Selatan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Education Malaysia Global Services (EMGS) merangka untuk meneroka peluang di benua berkenaan lanjutan daripada perbincangan pada Minggu Pendidikan Ekspo 2020 Dubai, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya sudah mengadakan komunikasi awal dengan delegasi National Committee for University Assessment and Accreditation of the Argentine Republic (CONEAU) bagi memperincikan kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

Beliau berkata, perancangan itu dijalankan di bawah inisiatif MQA Global bagi memperkukuhkan lagi jalinan kerjasama pendidikan antara Malaysia dengan badan akreditasi di seluruh dunia.

Katanya, ia juga bagi menembusi pasaran baharu membabitkan negara Amerika Selatan seperti Argentina, Brazil, Ekuador, Chile dan Uruguay yang diyakini mempunyai potensi sangat besar untuk menghantar pelajar ke Malaysia kerana CONEAU adalah satu daripada badan jaminan kualiti di Amerika Latin yang memproses akreditasi program pendidikan tinggi.

“Kami mahu bekerjasama dengan memeterai memorandum persefahaman pada masa akan datang, selain mengadakan lawatan yang dirancang dengan hasrat menjemput beberapa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi mempromosikan institusi serta program pengajian masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

“Kedudukan IPT Malaysia yang baik dalam penarafan universiti dunia, kemudahan di universiti yang disokong oleh kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan menjadi daya penarik buat pelajar di samping kos pengajian serta sara hidup yang berpatutan di Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, selaku agensi yang dipertanggungjawabkan menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi Malaysia, MQA bersungguh-sungguh untuk terus melonjakkan imej pendidikan tinggi negara, malah akan bergerak lebih agresif dalam tahun 2022.

Jelasnya lagi, menerusi inisiatif MQA Global, pihaknya mengadakan banyak kerjasama dan memorandum persefahaman dengan agensi akreditasi luar negara bagi melonjakkan nama Malaysia dalam arena pendidikan tinggi.

“Semua usaha yang dijalankan bagi memastikan Malaysia kekal berada pada landasan yang betul untuk menjadi hab pendidikan tinggi global dan berjaya membawa 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2025 selari dengan hasrat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Jaringan dan kerjasama dengan badan akreditasi luar negara akan memudahkan pelajar Malaysia serta negara yang berkenaan bagi menyambung pengajian, menjalankan program mobiliti, pemindahan kredit, malah untuk tujuan bekerja,” ujarnya.

Gambar hiasan daripada Pexels.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Mohd Radzlan Jalaludin berkata, pihaknya memandang positif usaha untuk membuka ruang dan peluang bagi meneroka pasaran di Amerika Latin.

Jika dilihat tahun lalu, katanya, Malaysia hanya menerima 56 pelajar daripada keseluruhan negara benua berkenaan dengan pelajar Brazil paling ramai iaitu 15 orang.

Bagaimanapun, katanya, ia menunjukkan permulaan positif bagi mereka (pelajar Amerika Selatan) yang mengenali Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menyambung pengajian tinggi.

“Mereka juga tercari-cari negara yang mempunyai kualiti pendidikan tinggi terbaik dan program ditawarkan dalam bahasa Inggeris.

“Ruang dan peluang itu ada untuk kita meneroka pasaran di Amerika Latin kerana sebelum ini kita kurang memberikan perhatian kepada negara ini,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok