mqa2
mqa2

MQA mahu jadi badan berkanun capai tahap 3R

Nor Azma  Muhamat Laila
06 Feb 2022 11:00am
A
A
A

CYBERJAYA - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mahu muncul sebagai badan berkanun yang mencapai tahap 3R iaitu Referred (dirujuk), Relevant (relevan) dan Respected (dihormati).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bagi mencapai hasrat itu, MQA menggariskan Pelan Strategik 2021-2025 yang bertunjangkan empat teras utama.

Katanya, Teras Strategik pertama ialah Ekosistem Pendidikan Fleksibel; kedua, Ketersediaan Bakat Industri; ketiga Penyampaian Efektif Disokong Kamampanan Sumber dan keempat, Rujukan Antarabangsa.

"Semua Teras Strategik itu sangat penting bagi memperkasa empat bidang iaitu sistem latihan dan pembangunan bakat; pentadbiran dan sistem sokongan; jaminan kualiti serta korporat dan pengantarabangsaan.

"MQA mahu menjadi agensi yang meneraju kecemerlangan pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa bagi membantu negara menjadi hab pendidikan global seperti dihasratkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad," katanya ketika menyampaikan Amanat Ketua Pegawai Eksekutif MQA Tahun 2022 bertemakan MQA: Peneraju Masa Hadapan, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Majlis MQA, Profesor Datin Paduka Dr Samsinar Md Sidin, Profesor Tan Sri Dr Mohamed Hanifa Abdullah, Nasharuddin Abu Bakar, Datuk Peter Ng Tong Se; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MQA, Halinordina Mat Saat.

Mohammad Shatar berkata, semua hasrat agensi yang mengawal selia pengajian tinggi negara tidak mustahil untuk dicapai sekiranya organisasi pimpinannya itu mempunyai Budaya 5K iaitu keselesaan, keceriaan, kebahagiaan, kebajikan dan kesyukuran.

Beliau berkata, sekiranya semua perkara terbabit dapat diwujudkan, sesebuah organisasi akan mampu melonjak kecemerlangan serta mencapai pelbagai usaha yang direncanakan dengan berteraskan hala tuju serta kualiti kepemimpinan yang tinggi.

"Sebagai sebuah badan akreditasi, MQA bekerja seperti satu keluarga yang saling memerlukan antara satu sama lain, semangat inilah yang menjadi motivasi buat kami untuk meningkatkan lagi imej pengajian tinggi di persada global," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok