Untitled (14)
Untitled (14)

MQA mahu perkukuh peranan di peringkat global

Nor Azma  Muhamat Laila
19 Nov 2021 01:55pm
A
A
A

MELAKA - Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mahu mengukuhkan peranannya di peringkat antarabangsa dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, hal itu sudah digariskan pihaknya dalam inisiatif MQA Global yang antaranya memfokuskan jalinan kerjasama dengan agensi kualiti pendidikan tinggi antarabangsa.

Menurut beliau, langkah itu akan membantu negara terutama membabitkan kebolehpasaran graduan di peringkat antarabangsa.

"Kebolehpasaran graduan tempatan boleh dipertingkatkan lagi sekiranya kita mempunyai jaringan lebih luas di luar negara.

"Dengan adanya kerjasama global ini, pelajar tempatan boleh menyambung pengajian di mana sahaja dan graduan Malaysia juga berpeluang bekerja di seluruh pelosok dunia kerana kualiti pendidikan mereka yang dijamin MQA," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perancangan Strategik MQA International 2022-2025, di sini, baru-baru ini.

Mesyuarat yang dihadiri kakitangan MQA International (dulunya dikenali Unit Hal Ehwal Awam & Antarabangsa) membincangkan hala tuju unit berkenaan bagi meningkatkan keterlihatan MQA di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mohammad Shatar berkata, pihaknya sudah menggariskan lima perkara di bawah inisiatif MQA Global iaitu pertama, pengiktirafan bersama dengan badan akreditasi luar negara untuk menerima IPT Malaysia yang sudah diiktiraf MQA.

"Kedua, kolaboratif dengan badan akreditasi global di negara yang menawarkan program pendidikan tinggi Malaysia bagi memastikan ia sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Ketiga, bagi memperkasa konsep pendidikan transnasional, kita akan memperkenalkan pendidikan fleksibel menerusi penawaran program micro-credential bukan hanya untuk pelajar tempatan tetapi juga untuk penuntut antarabangsa.

"Keempat, pertukaran ahli akademik dan pelajar serta kelima menjayakan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok