MQA-MESIR-SINARBESTARI-2022
MQA-MESIR-SINARBESTARI-2022

MQA perkukuh jaringan antarabangsa bersama Mesir

nadzarul.amir
01 Dec 2022 11:30am
A
A
A

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memperkasa kerjasama antarabangsa dalam jaminan kualiti pengajian tinggi bersama National Authority for Quality Assurance and Accreditation Education Egypt (NAQAAE).

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu dapat melaksanakan pelbagai inisiatif sekali gus membuka platform dan jaringan untuk menyebarluaskan elemen pengiktirafan antara Malaysia serta Mesir.

"Kerjasama ini juga akan menyaksikan kedua-dua pihak menjadi pemudah cara program mobiliti membabitkan institusi pendidikan tinggi (IPT), jalinan penyelidikan serta pengajaran dan pembelajaran.

"Kedua-dua pihak juga bersetuju membina kesedaran melalui maklumat yang terkandung dalam daftar negara masing-masing untuk pengiktirafan kelayakan, program bertauliah dan kemahiran di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoU yang diadakan selepas menyampaikan ucaptama di Delta University 1st International Engineering Conference on Research and Innovation (DU- IECRI) 2022 di Kaherah, Mesir dengan tajuk Micro-credentials and APEL: The Future of Higher Education, di Kaherah, baru-baru ini.

Pada majlis itu, MQA diwakili Mohammad Shatar, manakala NAQAAE diwakili Pengerusinya, Profesor Dr Youhansen Eid.

Hadir sama, pengurusan tertinggi Delta University yang menganjurkan persidangan antarabangsa selama dua hari itu iaitu Pengasasnya, Dr Mohammed Rabiea; Pengarah Eksekutif, Dr Mohamed Rabie; Naib Canselornya, Profesor Dr Yehia Elmashad dan Naib Canselor Open University Malaysia (OUM), Profesor Madya Dr Ahmad Izanee Awang.

Youhansen berkata, pihaknya sangat gembira dengan kerjasama yang dijalin itu kerana sebelum ini MoU terakhir yang ditandatangani kedua-dua belah pihak ialah pada tahun 2010.

"Kerjasama ini pastinya memberi nilai tambah kepada pengiktirafan kelayakan, program bertauliah dan kemahiran di peringkat antarabangsa, selain memantapkan lagi jaminan kualiti pendidikan tinggi," katanya.

Sementara itu, Mohammed Rabiea berkata, pihaknya komited mahu menjadi antara universiti pilihan pelajar Malaysia untuk menyambung pengajian.

"Berbekalkan fasiliti serba moden di Delta University diharap apa yang kami hasratkan akan mampu dicapai," katanya.

Artikel berkaitan

5 kumpulan penyelidik universiti terima GPPT MQA

MQA jalin kerjasama dengan 8 IPT tempatan

CHEA mahu jalin kerjasama dengan MQA, tingkat mutu pendidikan tinggi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok