mqa2
mqa2

CHEA mahu jalin kerjasama dengan MQA, tingkat mutu pendidikan tinggi

Nor Azma  Muhamat Laila
09 Jun 2022 06:44pm
A
A
A

WASHINGTON - Council of Higher Education Accreditation (CHEA) Amerika Syarikat (AS) menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam usaha meningkatkan mutu pengajian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, CHEA bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan MQA termasuk membabitkan penempatan staf antara kedua-dua pihak.

"Jalinan ini akan dapat memberi pendedahan kepada warga MQA bagaimana peningkatan mutu pendidikan tinggi negara dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

"Selain kerjasama dalam aspek penarafan, pengiktirafan dan kesetaraan kelayakan akademik yang dikeluarkan ribuan IPT di AS, jalinan ini juga akan membabitkan bidang penyelidikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan wakil CHEA iaitu Naib Presiden Perkhidmatan Pengiktirafan, Loretta Waldron dan Naib Presiden Penyelidikan dan Analisis Dasar, Michelle Claville di pejabat CHEA, semalam.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Akreditasi (Sains Sosial) yang menjalankan tugas Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim.

Megulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan semua badan akreditasi antarabangsa bagi meningkatkan kualiti pengajian tinggi negara.

Dengan adanya kolaborasi sedemikian, ujarnya, pihaknya akan dapat meningkatkan keyakinan masyarakat dunia terhadap kualiti pengajian tinggi di Malaysia.

"Kerjasama erat dijalinkan antara MQA dengan CHEA sangat signifikan terutama dalam meneroka pasaran AS menerusi perkongsian mengenai produk pendidikan tinggi Malaysia dan pemeteraian MoU.

"Diharap kerjasama yang dijalinkan dengan CHEA ini akan membantu menjayakan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menarik minat 250,000 pelajar antarabangsa menyambung pengajian di Malaysia menjelang 2025 seterusnya menjadikan negara sebagai hab pendidikan global," ujarnya.

Artikel berkaitan

MQA mahu bawa APEL ke peringkat global

Semak akreditasi program di MQR sebelum ikuti pengajian – MQA

MQA serah 2,000 baucar makanan, kit kebersihan kepada UKM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok