Untitled (3)
Untitled (3)

MSU jalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Selangor

Nor Azma  Muhamat Laila
30 Nov 2021 03:19pm
A
A
A

SHAH ALAM – Menyedari keperluan kepada kolaboratif pintar di antara sektor awam dengan sektor swasta khasnya institusi pengajian tinggi (IPT) terutama dalam aspek pembangunan akademik dan modal insan, Management and Science University (MSU) mengambil inisiatif menjalinkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

Kerjasama strategik itu dimeterai menerusi majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU), di sini, baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi MSNS, Mohd Khairuddin Othman.

Turut hadir bagi menandatangani MoU berkenaan ialah Naib Presiden Hubungan Industri dan Keusahawanan MSU, Profesor Dr Abdul Jalil Ghazali dan Pengarah Eksekutif MSNS, Mohamad Nizam Marjugi.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan MSU, pemeteraian MoU di antara kedua-dua pihak itu akan menyaksikan kerjasama menyeluruh merangkumi aspek penyelidikan dan penganalisaan data dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan Sukan.

"Ia turut membabitkan aspek kejurulatihan dan pengurusan teknikal; penganjuran bengkel, persidangan dan penerbitan ilmiah merangkumi pengajian peringkat ijazah sarjana muda serta Pascasiswazah.

"Selain itu, kerjasama turut merangkumi aspek pemerkasaan modan insan MSNS melalui pelaksanaan program jangka pendek, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah serta aspek perkongsian ilmu dalam bidang pembangunan sukan negeri dan universiti," katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama dengan MSNS ini juga akan menyaksikan MSU melalui International Medical School (IMS), Faculty Health and Life Sciences (FHLS) dan hospital pakar swastanya, MSU Medical Centre (MSUMC) untuk turut sama berkongsi kepakaran dalam bidang sains sukan, pengurusan sukan termasuklah aspek fisioterapi, teknologi hiperbarik, serta psikologi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok